Bagaimana anda mengenang sebuah persahabatan? sementelah riwayat persahabatan itu mengukir kenangan indah lantaran tempoh nan lama termenterai ikatan. dan jalinan persahabatan itu tambah manis kerana terpatri sebuah kejujuran. maka, punyakah anda sahabat sedemikian?
Tuesday, 30 August 2016
Bahtera Merdeka
Assalamualaikum sahabatku Kamariah
Aku mencuri sedikit masa untuk menulis. Tulang belulang dan urat belikat seakan batu. Begitu duduk di hadapan komputer kerana tuntutan untuk menyiapkan kursus MOOC membuat aku putus hubungan dengan dunia luar seketika. Masa begitu pantas seakan pergi tanpa belas simpati. Dan aku pula umpama si kura-kura yang merangkak mengejar mentari sebelum teduh malam menjelma sedangkan jaraknya masih tidak terduga.
Esok - Malaysia bakal meraikan ulang tahun kemerdekaan.
Malam ini pasti meriah sekali pesta menyambut kedatangan tahun baru kala jam berdetik tepat pukul 12 tengah malam. Sungguh, aku tidak pernah berpeluang, atau barangkali tidak pernah mengambil peluang secara tepatnya untuk bersama-sama gerombolan manusia di Dataran Merdeka untuk melaungkan kalimah keramat itu hingga bergema di ruang atmosfera. Aku hanya pemerhati kecil yang hanya sesekali menjeling kaca televisyen, atau si pendengar setia kepada gempa gempita bunga api yang berdentum di langit sana.
Beberapa abad berlalu, sambutan kemerdekaan tetap begitu. Penuh kemeriahan luaran, penuh pesta ria yang menyunting senyum tawa. Namun makna sebenar di sebalik derita rusuh jiwa lara pejuang kemerdekaan itu, adakah dirasa?
Hey, entah kenapa .. bila bicara tentang ini hatiku tiba-tiba meruntun rindu. Rindu pada pengalaman lalu. Entah di mana relevannya ingatan ini, aku sendiri masih mahu mempersoalkannya, hah! lalu izinkan aku meneruskan catatan!
Kau tahu Kamariah, di saat jari mengetik aksara pada komputer riba ini, aku toh menyulam ingat kepada karya-karya penuh makna, dan anehnya semua ditulis karyawan hebat dari seberang. Pak Hamka misalnya, memberi aku satu sudut pandang berbeza tentang hidup .. Pramodua Anata Toer, membuat aku diulit indahnya lenggok bahasa namun dalam masa yang sama membuat aku lebih matang meneliti makna perjuangan dan kesetiaan.. atau Marya A. Sardjono begitu membugarkan rasa cintaku kepada Herman, meski watak itu hidup dalam khayalan!
Aku akui yang musim-musim terdekat aku begitu jauh dengan novel dan karya kreatif kerana di kebanyakan waktu aku meneleku penulisan akademik yang berkajang-kajang! Namun itu tidak membunuh rindu dan cintaku kepada pembacaan bahan-bahan yang diolah laras bahasa yang indah lagi menyenangkan! Aku kira, novel-novel itu, meski dalam kuantiti yang sedikit- banyak memberi pengaruh dalam cara aku melihat kehidupan dan realitinya. Nanti, bila kita ketemu aku ingin sekali berbahas tentang itu. Bagaimana sudut pandangmu sebagai seorang pakar dalam dunia penulisan .. tentang mutu bahasa dalam novel-novel popular masa kini. Aku pasti kau punya banyak cerita dan buah fikir untuk dikongsi! Hatta aku sekecil-kecil manusia dalam dunia penulisan kreatif tidak pernah berasa 'kenyang' apabila membelek novel-novel di lambakan pasaran kini. Kenapa? Pertamanya, tentu sekali gaya bahasa yang tidak lagi meruntun jiwa, mendayu di hati. Kedua, tentu saja kerana tema dan persoalannya tidak lagi sesuatu yang perlu difikir, direnung dan direflek! Sama seperti Drama Korea yang kisahnya hanya seputar cinta, darjat dan harta.
Wahh .. jauh sekali lamunan akalku sahabat!
Dari hendak berceritera tentang merdeka, aku terhanyut ke muara ini!
Maaflah jika contenganku tidak memberi makna apa-apa. Aku sekadar mahu sekali mencoret seperti dahulu. Aku rindukan masa-masa lompang untuk diisi dengan ketukan jemari mengatur ayat, menyusun cerita. Aku rindukan zaman kita berkongsi segala rasa dari yang sekecil hingga sebesarnya. Mungkin kerana di saat ini, jauh di perdu jiwa aku mencari sesuatu yang hilang sementara. Lalu mungkin contengan ini bisa saja mengubat lara jiwa yang lelah sehari-hari mengejar dunia.
Apapun sahabat, semoga hari kemerdekaan ini memberi kita ruang untuk berfikir semula. Apa makna merdeka dalam erti kata yang sebenarnya?
Salam permisi.
Secret Recipe Alamanda
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

Sahabatku Fariza,
ReplyDeleteLama surat kita tidak bernyawa, ayuh menulislah semula!