Monday, 29 April 2024

Masa dan Kita

 




30 April 2024 


Entah kenapa, hasrat mencoret di sini tiba-tiba menggaru rasa. Lalu di kala pembentangan kumpulan modul lain sedang berlangsung, aku hadir dalam dunia lain - Dunia Surat Dua Sahabat. Barangkali kerana ujarmu baru-baru ini tentang rasa yang terbangkit seusai membaca coretanku di sini, lalu keinginan berkisah tiba-tiba tumbuh pagi ini. 

Kamariah, 

Banyak purnama yang telah berlalu namun di sepanjang relung masa itu, tiada sekalipun peluang kita bersua. Begitu juga dengan sahabat kita di Kemaman, Yanti. Aku pulang ke Kemaman pada hari raya ke dua baru-baru ini namun tiada kesempatan masa yang lumayan untuk aku menziarahi Yanti. Apatah lagi apabila pulang menjenguk ibu yang kian uzur kini, banyak masa yang perlu aku salurkan buat bonda. Harap Yanti tidak berkecil hati. 

Meski tiada berjumpa, dalam hati sentiasa membugar dengan ingatan buat kalian berdua. Meski jarang berhubung di saluran komunikasi whatsapp, dalam jiwa seringkali penuh dengan kenangan-kenangan kita.  

Esok Mei akan menjelma. Banyak yang akan berlaku di bulan ini. Ramai rakanku di jawatan pengurusan juga akan habis tempoh pentadbiran masing-masing. Namun, tidak kurang juga yang disambung tempoh perjawatan ke suatu tempoh lagi. Begitulah kita dengan masa. Sampai ketikanya, ada yang harus dihentikan, sama ada kita suka atau tidak. Begitu, analoginya dengan perjalanan hidup kita. Namun ibrah utama daripada peralihan ini adalah pentingnya kita merancang susur galur kehidupan mahupun perjalanan profesionalisme kita. 

Hei, apa khabar kau di sana sahabat? 

Entah kapan kita mahu duduk-duduk sambil menghirup secangkir kopi atau teh hangat? Membongkar kisah-kisah hidup yang penuh warna dan rasa. Ketawa sejenak disulami jeda sunyi seketika kala otak berfikir dan menaakul pelbagai perkara. Merangkul kemas tubuhmu kala bertemu dan berpisah. Mengungkap juga gila rasa yang aku anggap sebagai sulaman yang menghiasai hidup kita. Aku rindukan semua itu. 

Mudah-mudahan kelak ada peluang kita bersua. Jaga dirimu. 


No comments:

Post a Comment