Sahabatku Fariza yang dirahmati Allah al-Fattah al-Razzak alam semesta. Moga sahaja dikau sentiasa dalam perlindungan-Nya bersama keluarga tercinta. Walau kesibukan bukan kepalang dalam menyusur hari pun moga sahaja kita diberikan warna ceria bersama anak-anak tentunya. Ternyata kepulanganmu tempohari ke daerah kelahiran dengan mengkhabarkan coretan kisah yang pelbagai telah membenihkan rasa rindu yang segar buat diriku mengimbau kenangan yang sarat bertakhta. Kala kau menyatakan bahawa tempat kita meraih ilmu telah berubah menjadi lebih membangun, aku menelan bahagia. Ya, Sekolah Kebangsaan Binjai banyak mempotret kanvas nan indah untuk kita dakap erat dalam diri pastinya.
Lokasi ini sungguh punya nostalgia yang mekar untuk kita. Bagaimana buat pertama kali kita dipertemukan dengan penuh debar dan tidak secalit pun ada warna pura-pura. Kala itu aku dipindahkan dari Sekolah Kebangsaan Chukai dan kau dari Sekolah Kebangsaan Padang Kubu yang tentunya punya pengalaman nan berbeza. Tidak dinafikan pada awal perkenalan, kami masing-masing tidak bersuara. Barangkali masih memikirkan apakah cerita yang mahu dikongsi bersama, atau tentu sahaja sukar untuk menterjemahkan rasa? Pun, setelah seminggu bersama nampaknya kami serasi untuk merangkaikan sebuah riwayat persahabatan yang akhirnya membuahkan memori yang sarat makna.
Agak lucu antara kau dan aku punya kenakalan di sekolah lama. Kau bercerita tentang sahabat di Sekolah Padang Kubu dengan membariskan deretan nama seperti Henzi, bla, bla, bla. Sementara aku pula mengemukakan sebahagian nama sahabat di Sekolah Kebangsaan Chukai seperti Nazri, Wan Hairil dan bla, bla. Argh sahabat, alangkah indahnya sebuah pertemuan kala diri baru diinjak usia 10 tahun tentunya. Ya, darjah 4A menjadi saksi ranum keasyikan kita berkisah dan bercerita yang akhirnya menjadi kita akrab sebagai sahabat nan istimewa. Paling bererti, kita juga punya personal yang hampir sama. Kita berambut tocang dua, dan sesekala dijalin dengan rapi, masihkah kau ingat memori yang diseret masa?
Sahabatku Fariza,
Kalau ada yang bertanya, mahukah kita kuasa untuk memutar kembali memori yang telah pergi, tentu sekali aku akan menjawab "ya". Aku mahu mengembalikan kenangan silam yang sarat warna ceria. Aku mahu memugar rasa gembira berlari-larian sebagai kanak-kanak tanpa ada secalit duka. Aku mahu membangunkan rangkaian cerita kita bersama yang penuh bunga-bunga harum melata. Yang kini semua itu sesungguhnya tidak dapat kita kutip kembali apatah lagi untuk bergelar kanak-kanak semula. Rabb, betapa derasnya masa berganti pergi dan datang semula, dan ia menjadikan kita insaf tentunya.
sebagaimana pesan Khalid Muhammad Khalid bahawa "Kehidupan akan memberi sambutan hangat, malah lebih hangat kepada orang-orang yang memelihara persahabatan, dan merawat pohon persahabatan yang teduh itu. Adakah saudara termasuk orang-orang itu?"
Maaf sesungguhnya. Aku punya timbunan kerja di kampus yang tidak pernah usai dan sarat mengisi masa. Mahu sahaja kekadang aku merengkuh jerit tanda tercungap-cungap mengharung kelibut suasana. Dengan kerenah tiga Zahra dan seorang Khalil tentu juga aku sesekala bingung dan rengsa. Pun, kerana dek tekanan kerja dan kerenah anak-anaklah aku berusaha menjadi kental jiwa. Moga-moga. Doa yang sama untukmu agar kita sentiasa dalam naungan Dia Yang Maha Kaya. Sehingga ketemu lagi, salam kasih-sayang buat renda kenangan kita bersama, dan untuk kuntum cinta anak-anak kita jua. Allah, lindungi kami semua sentiasa!

Hidup sentiasa mengejar dan dikejar ... ! Jom kita tingkatkan usaha mencari redhaNya .. mudah2an hidup kita penuh lestari bersama insan tercinta! Nanti aku sambung kisah Binjai lagi xoxo
ReplyDelete