Saturday, 6 December 2014

melihat dalam diri

Usia kami mencecah angka 41 tahun kini. Sebuah takah usia yang sesungguhnya banyak mengajar erti dalam meniti hari. Pertemuan demi pertemuan antara aku dengan Fariza sejak kebelakangan ini cukup mempertaut rasa muhasabah dalam hati. Lalu dinihari ini berteman heningdamai suasana di kediaman kami, aku catatkan kisah antara kami. Ya, kisah antara kami sejak alam kanak-kanak, menyusur musim remaja dan dewasa cukup mendidik nubari.
 
Apa khabar dirimu sahabat dan keluarga yang dikasihi? Doaku dirimu sentiasa dalam perlindungan Ilahi. Kita memang diburu waktu yang tangkas pergi dan berganti. Dengan tanggungjawab yang terpundak di bahu sebagai ibu dan isteri, tentu sahaja tugasan di kampus menuntut kemampuan dan kecekalan yang tinggi. Moga sahaja kita dapat merealisasikan segala impi dengan kental mendatangi. Bukankah dulu kala musim kanak-kanak kita juga antara yang aktif dan produktif dalam mengharungi hari? Masihkah kau ingat kita antara pelajar Sekolah Kebangsaan Binjai yang disenangi? Para guru tentu sahaja menaruh harapannya yang tersendiri. Kita pernah mewakili sekolah dalam pertandingan lakonan bahasa Inggeris; kau memegang watak orang kaya  dan aku menjiwai watak orang miskin dengan seni dan ekspresi. Kenangan bersama melakonkan watak demikian cukup membuatkan manisnya memori. Entah anak-anak kita kini tahu pergerakan dan keaktifan kita sehari-hari? Apa sahaja aktiviti sekolah yang diajukan cikgu kelas, kitalah orangnya yang terpilih dan mewakili. Sementelah kita juga merupakan pengawas yang digeruni oleh rakan sekelas lantaran cekap menguruskan itu dan ini.
 
Argh musim kanak-kanak yang cukup bererti. Barangkali juga dek kerana kecederungan minat menjadi kita lebih serasi. Tentu kau masih mengingati tentang keghairahan kita mengumpul setem dan menghantar poskad saban hari. Cukup membuatkan masa musim kanak-kanak kita sarat terisi. Kita punya album setem yang menghimpunkan pelbagai jenis setem daripada banyak negara, dan ini banyak memberi info dan pengetahuan dunia walau kita tidak pernah menjejaki. Malahan kini ia menjadi nostalgia indah untuk dikenang lantaran sejak dulu kita gemar berimaginasi ke negara orang, dan akhirnya segala impi terlaksana kini. Bahagia bukan, dan ia kekadang tidak pernah terjangkakan begitu aturan Allah al-Muhyi. 
 
Malah kita juga sesekali lucu dalam mendepani musim remaja yang menjengah diri. Paling terkesan usaha kita membeli poskad dan mengeposkannya sendiri. Walhal kala itu kita masih berada di Sekolah Kebangsaan Binjai. Upaya kita membeli poskad, menulis dan mengeposnya merupakan cara terpuji yang jarang berlaku kepada kanak-kanak kampung yang dapat diterjemahkan sebagai berani. Lucu sekali. Barangkali juga kita tergoda dengan kisah di talivisyen yang bersiaran yang akhirnya melekat dalam hati. Program kegemaran kita tentulah drama Inggeris yang berlatarkan desa nan permai pun kanak-kanaknya rajin membaca dan mempamer tingginya budi. Tentu sahaja kau masih ingat kita sering mengulas semula rancangan kegemaran, Little House on The Prairie?
 
Kau, aku dan Yanti. Tiga sahabat akrab dan sering mencipta kelainan yang tersendiri. Entah masih mengingati sahabat kita yang seorang lagi? Dan apa khabar dia kini? Moga sahaja dia turut mengingati indahnya pertemuan antara kita menyusuri musim kanak-kanak dengan kenakalan yang memeriahkan perjalanan sehari-hari. Dengan gaun panjang kita berlari dan berkejar di tengah lalang nan rimbun dengan kuntum bunga kecil yang melata, kita seolah-olah melakonkan semula watak kegemaran dalam drama yang diminati. Argh, kau, aku dan Yanti. Memang lucu sekali. Begitu ia tidak akan berulang kembali. Begitu kenangan itu tidak pernah mati walau ditelan masa dan asakan modenisasi. Rabb, moga sahaja ia menjadi benih dan membaja dalam nubari untuk dikisahkan kepada anak-anak kami nanti.
 
Ya, melihat dalam diri kini cukup membuatkan insaf menendang sukma dan nyali. Ia sesekali membugar rasa dan jiwa walau sarat diuji. Begitu masa diseret oleh gumpalan warna dan rangkuman episod yang bertali yang membuatkan kita bertambah matang kini. Sepertimana kata Khalid Muhammad Khalid: "Hidupkan wajah anda pada Allah kerana dialah kebenaran. Berikan kesetiaan anda padanya kerana dialah yang terbaik", yang membawa kita menerobos kehidupan dengan lebih bererti. 
 
Sehingga cukup di sini. Moga ada pertemuan kembali. Salam kasih-sayang yang mekar dalam diri buat ukhwah yang terpatri. Moga sahaja Allah al-Qadir al-Qawi merestui setiap langkah kita mengharung cabaran hidup hari ini. Mudahan segalanya dipermudahkan dengan untaian kasih yang membangunkan maknawi dan hakiki. Mudahan jua segala gerak nadi kita dihalakan demi perjuangan menobat agama nan syumul sehingga nafas ini terhenti. Allah, mohon kabulkan segala rintih kami!

1 comment:

  1. 6 disember .. baru hri ni aku sempat membaca catatanmu. Kelak aku balasi :)

    ReplyDelete