Saturday 6 December 2014

melihat dalam diri

Usia kami mencecah angka 41 tahun kini. Sebuah takah usia yang sesungguhnya banyak mengajar erti dalam meniti hari. Pertemuan demi pertemuan antara aku dengan Fariza sejak kebelakangan ini cukup mempertaut rasa muhasabah dalam hati. Lalu dinihari ini berteman heningdamai suasana di kediaman kami, aku catatkan kisah antara kami. Ya, kisah antara kami sejak alam kanak-kanak, menyusur musim remaja dan dewasa cukup mendidik nubari.
 
Apa khabar dirimu sahabat dan keluarga yang dikasihi? Doaku dirimu sentiasa dalam perlindungan Ilahi. Kita memang diburu waktu yang tangkas pergi dan berganti. Dengan tanggungjawab yang terpundak di bahu sebagai ibu dan isteri, tentu sahaja tugasan di kampus menuntut kemampuan dan kecekalan yang tinggi. Moga sahaja kita dapat merealisasikan segala impi dengan kental mendatangi. Bukankah dulu kala musim kanak-kanak kita juga antara yang aktif dan produktif dalam mengharungi hari? Masihkah kau ingat kita antara pelajar Sekolah Kebangsaan Binjai yang disenangi? Para guru tentu sahaja menaruh harapannya yang tersendiri. Kita pernah mewakili sekolah dalam pertandingan lakonan bahasa Inggeris; kau memegang watak orang kaya  dan aku menjiwai watak orang miskin dengan seni dan ekspresi. Kenangan bersama melakonkan watak demikian cukup membuatkan manisnya memori. Entah anak-anak kita kini tahu pergerakan dan keaktifan kita sehari-hari? Apa sahaja aktiviti sekolah yang diajukan cikgu kelas, kitalah orangnya yang terpilih dan mewakili. Sementelah kita juga merupakan pengawas yang digeruni oleh rakan sekelas lantaran cekap menguruskan itu dan ini.
 
Argh musim kanak-kanak yang cukup bererti. Barangkali juga dek kerana kecederungan minat menjadi kita lebih serasi. Tentu kau masih mengingati tentang keghairahan kita mengumpul setem dan menghantar poskad saban hari. Cukup membuatkan masa musim kanak-kanak kita sarat terisi. Kita punya album setem yang menghimpunkan pelbagai jenis setem daripada banyak negara, dan ini banyak memberi info dan pengetahuan dunia walau kita tidak pernah menjejaki. Malahan kini ia menjadi nostalgia indah untuk dikenang lantaran sejak dulu kita gemar berimaginasi ke negara orang, dan akhirnya segala impi terlaksana kini. Bahagia bukan, dan ia kekadang tidak pernah terjangkakan begitu aturan Allah al-Muhyi. 
 
Malah kita juga sesekali lucu dalam mendepani musim remaja yang menjengah diri. Paling terkesan usaha kita membeli poskad dan mengeposkannya sendiri. Walhal kala itu kita masih berada di Sekolah Kebangsaan Binjai. Upaya kita membeli poskad, menulis dan mengeposnya merupakan cara terpuji yang jarang berlaku kepada kanak-kanak kampung yang dapat diterjemahkan sebagai berani. Lucu sekali. Barangkali juga kita tergoda dengan kisah di talivisyen yang bersiaran yang akhirnya melekat dalam hati. Program kegemaran kita tentulah drama Inggeris yang berlatarkan desa nan permai pun kanak-kanaknya rajin membaca dan mempamer tingginya budi. Tentu sahaja kau masih ingat kita sering mengulas semula rancangan kegemaran, Little House on The Prairie?
 
Kau, aku dan Yanti. Tiga sahabat akrab dan sering mencipta kelainan yang tersendiri. Entah masih mengingati sahabat kita yang seorang lagi? Dan apa khabar dia kini? Moga sahaja dia turut mengingati indahnya pertemuan antara kita menyusuri musim kanak-kanak dengan kenakalan yang memeriahkan perjalanan sehari-hari. Dengan gaun panjang kita berlari dan berkejar di tengah lalang nan rimbun dengan kuntum bunga kecil yang melata, kita seolah-olah melakonkan semula watak kegemaran dalam drama yang diminati. Argh, kau, aku dan Yanti. Memang lucu sekali. Begitu ia tidak akan berulang kembali. Begitu kenangan itu tidak pernah mati walau ditelan masa dan asakan modenisasi. Rabb, moga sahaja ia menjadi benih dan membaja dalam nubari untuk dikisahkan kepada anak-anak kami nanti.
 
Ya, melihat dalam diri kini cukup membuatkan insaf menendang sukma dan nyali. Ia sesekali membugar rasa dan jiwa walau sarat diuji. Begitu masa diseret oleh gumpalan warna dan rangkuman episod yang bertali yang membuatkan kita bertambah matang kini. Sepertimana kata Khalid Muhammad Khalid: "Hidupkan wajah anda pada Allah kerana dialah kebenaran. Berikan kesetiaan anda padanya kerana dialah yang terbaik", yang membawa kita menerobos kehidupan dengan lebih bererti. 
 
Sehingga cukup di sini. Moga ada pertemuan kembali. Salam kasih-sayang yang mekar dalam diri buat ukhwah yang terpatri. Moga sahaja Allah al-Qadir al-Qawi merestui setiap langkah kita mengharung cabaran hidup hari ini. Mudahan segalanya dipermudahkan dengan untaian kasih yang membangunkan maknawi dan hakiki. Mudahan jua segala gerak nadi kita dihalakan demi perjuangan menobat agama nan syumul sehingga nafas ini terhenti. Allah, mohon kabulkan segala rintih kami!

Friday 5 December 2014

dua hati satu jiwa

Sahabatku Fariza yang dirahmati Allah al-Fattah al-Razzak alam semesta. Moga sahaja dikau sentiasa dalam perlindungan-Nya bersama keluarga tercinta. Walau kesibukan bukan kepalang dalam menyusur hari pun moga sahaja kita diberikan warna ceria bersama anak-anak tentunya. Ternyata kepulanganmu tempohari ke daerah kelahiran dengan mengkhabarkan coretan kisah yang pelbagai telah membenihkan rasa rindu yang segar buat diriku mengimbau kenangan yang sarat bertakhta. Kala kau menyatakan bahawa tempat kita meraih ilmu telah berubah menjadi lebih membangun, aku menelan bahagia. Ya, Sekolah Kebangsaan Binjai banyak mempotret kanvas nan indah untuk kita dakap erat dalam diri pastinya.
 
Lokasi ini sungguh punya nostalgia yang mekar untuk kita. Bagaimana buat pertama kali kita dipertemukan dengan penuh debar dan tidak secalit pun ada warna pura-pura. Kala itu aku dipindahkan dari Sekolah Kebangsaan Chukai dan kau dari Sekolah Kebangsaan Padang Kubu yang tentunya punya pengalaman nan berbeza. Tidak dinafikan pada awal perkenalan, kami masing-masing tidak bersuara. Barangkali masih memikirkan apakah cerita yang mahu dikongsi bersama, atau tentu sahaja sukar untuk menterjemahkan rasa? Pun, setelah seminggu bersama nampaknya kami serasi untuk merangkaikan sebuah riwayat persahabatan yang akhirnya membuahkan memori yang sarat makna.
 
Agak lucu antara kau dan aku punya kenakalan di sekolah lama. Kau bercerita tentang sahabat di Sekolah Padang Kubu dengan membariskan deretan nama seperti Henzi, bla, bla, bla. Sementara aku pula mengemukakan sebahagian nama sahabat di Sekolah Kebangsaan Chukai seperti Nazri, Wan Hairil dan bla, bla. Argh sahabat, alangkah indahnya sebuah pertemuan kala diri baru diinjak usia 10 tahun tentunya. Ya, darjah 4A menjadi saksi ranum keasyikan kita berkisah dan bercerita yang akhirnya menjadi kita akrab sebagai sahabat nan istimewa. Paling bererti, kita juga punya personal yang hampir sama. Kita berambut tocang dua, dan sesekala dijalin dengan rapi, masihkah kau ingat memori yang diseret masa?
 
Sahabatku Fariza,
Kalau ada yang bertanya, mahukah kita kuasa untuk memutar kembali memori yang telah pergi, tentu sekali aku akan menjawab "ya". Aku mahu mengembalikan kenangan silam yang sarat warna ceria. Aku mahu memugar rasa gembira berlari-larian sebagai kanak-kanak tanpa ada secalit duka. Aku mahu membangunkan rangkaian cerita kita bersama yang penuh bunga-bunga harum melata. Yang kini semua itu sesungguhnya tidak dapat kita kutip kembali apatah lagi untuk bergelar kanak-kanak semula. Rabb, betapa derasnya masa berganti pergi dan datang semula, dan ia menjadikan kita insaf tentunya.

sebagaimana pesan Khalid Muhammad Khalid bahawa "Kehidupan akan memberi sambutan hangat, malah lebih hangat kepada orang-orang yang memelihara persahabatan, dan merawat pohon persahabatan yang teduh itu. Adakah saudara termasuk orang-orang itu?"

Maaf sesungguhnya. Aku punya timbunan kerja di kampus yang tidak pernah usai dan sarat mengisi masa. Mahu sahaja kekadang aku merengkuh jerit tanda tercungap-cungap mengharung kelibut suasana. Dengan kerenah tiga Zahra dan seorang Khalil tentu juga aku sesekala bingung dan rengsa. Pun, kerana dek tekanan kerja dan kerenah anak-anaklah aku berusaha menjadi kental jiwa. Moga-moga. Doa yang sama untukmu agar kita sentiasa dalam naungan Dia Yang Maha Kaya. Sehingga ketemu lagi, salam kasih-sayang buat renda kenangan kita bersama, dan untuk kuntum cinta anak-anak kita jua. Allah, lindungi kami semua sentiasa!


 
 

rindu yang tidak pernah padam

pernahkah rindu bertandang dalam jiwa tetapi ia tidak dapat dirungkaikan? pernahkah rindu bersarang dalam rasa pun ia sukar benar untuk dibugarkan? ya, saya amat merindui ranah kelahiran, Kemaman. sejak emak tercinta jatuh sakit sudah hampir dua tahun kami tidak pulang.
 
maka, pabila sahabat akrab Dr. Fariza Khalid berkisah tentang daerah kami dibesarkan ia sesungguhnya kenangan yang membahagiakan. terpamer di ruang mata segala bucu memori kanak-kanak yang telah ditinggalkan, terbayang di sudut hati segala renda nostalgia musim remaja yang penuh keindahan.  
 
Kemaman, daerah kenangan yang menebarkan pengalaman. Kemaman, daerah kelahiran yang membangun rona kematangan. kami berdua, Fariza dan Kamariah dilahirkan dan dibesarkan dengan penuh kasih-sayang. justeru, walau jauh kami berlari, walau jauh kami pergi, ia sesungguhnya ranah kelahiran yang tetap terpahat dalam ingatan, dan ia sesungguhnya tidak pernah terpadamkan.
 
Kemaman, rindu kami yang sarat dalam qalbu yang kekadang membuatkan airmata berlinangan. ya, sebuah rindu yang tidak pernah padam walau derasnya masa berganti pergi dan datang. Rabb, moga projek keilmuan kami menyempurnakan buku bersama "Surat Dua Sahabat" akan menjadi kenyataan! 

Thursday 4 December 2014

Pertemuan antara Kami



Assalamualaikum sahabatku, awal bicara.  Semoga kala ini, teduh kasih-Nya kekal memayungi hidupmu sekeluarga. Kamariah, malam baru merangkak tiba namun semangatku berkobar-kobar mahu mencoret lagi, apatah lagi pertemuan kita yang seketika cuma di klinik tempohari mencetus banyak memori tersimpan yang ingin sahaja aku luah dan kongsikan.
Semalam juga, aku berhubung dengan kakakku Kak Zie di Kemaman melalui telefon dan aku menerima khabar tentang permergian arwah Hashimi, abang Norzalina (Na), sahabat lama kita ke rahmatullah. Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun. Meski beliau bukanlah sahabat sebaya usia kita, namun aku kira perkhabaran ini sedikit sebanyak menyuntik ingatan terhadap sahabat handai kita di tanah kelahiran. Semoga Allah menempatkan rohnya di barisan para salihin dan aku merafa’kan doa agar ahli keluarga Shimi tabah menghadapi sebuah pemergian abadi ini.
Entah apa khabar sahabat kita Na, ye? Rasanya sudah lebih sepuluh tahun aku tidak bersua muka dengannya. Meski rumah orang tuanya hanya dipisahkan oleh kedai Pak Merang, jarang sekali aku bertembung dengan Na. Tambahan pula Na sendiri tidak tinggal sebumbung dengan orang tuanya.    Ah! Barangkali sudah banyak perubahan pada Na. Semakin bergaya, mungkin! Sesuatu yang membuat aku paling ingat tentang Na adalah kerana jasanya. Dialah seorang rakan yang pertama menemani langkahku di hari pertama ke Sekolah Kebangsaan Binjai, ketika bertukar sekolah dari Sekolah Padang Kubu. Kami berjalan kaki melewati kebun getah lalu menyusur tebing jalan raya sebelum tiba ke perkarangan sekolah. Dia aku kenali semenjak kecil, namun tidaklah akrab kerana persekolahan tahun satu aku aku bertempat di Sekolah Kebangsaan Padang Kubu, lantaran mengikut arwah ayahku, Cikgu Haji Khalid yang bertugas sebagai Guru Besar di sana.
“Za, mu nak ikut aku gi sekolah?” masih aku ingat pelawaan Na.  Ajakan itu aku terima dengan hati terbuka, umpama orang mengantuk disorongkan bantal kerana aku sendiri menjadi kaku kelu memikirkan bagaimana harus aku lalui hari pertama di sekolah yang berbeza, setelah tiga tahun membesar di Padang Kubu.
“Buleh ke? Kita nok jalan kaki ke Na?” tanyaku naïf.
“Ho lah .. nok naik mende lagi?”, dia ketawa kecil. Aku pula menggaru-garu kepala yang bertocang ekor kuda. Dalam diam aku cuba mentafsir. Betullah, mahu naik apa lagi, sedangkan tiada seorang pun di antara kami mempunyai kenderaan, khususnya basikal sendiri!
Esoknya, di kala dingin pagi masih bersisa, aku mengetuk pintu rumah Na yang letaknya di hadapan jalan.  Entah ke mana hilang semangatku untuk ke sekolah baru. Jaraknya pula lebih jauh berbanding bangunan sekolah lamaku di Padang Kubu yang hanya dipisahkan sebatang jalan sekitar 500 meter dari kuarters rumah guru.
Canggun! Begitu yang mampu aku gambarkan perasaan ketika melewati pintu pagar sekolah. Itu bukanlah kali pertama aku menjejak bumi Sekolah Kebangsaan Binjai sebenarnya, kerana empat tahun sebelum itu, aku pernah bersekolah ‘tumpang’ ketika berusia enam tahun di situ. Cikgu Rahmah menjadi guru kelas ketika itu, dan arwah ayahku sendiri adalah guru besar di situ. Namun, kembalinya aku ke laman itu menyuntik rasa yang berbeza. Ada sedikit tidak menentu perasaan ini dibuatnya namun aku tidak mahu melayan perasaan itu.  Bilik darjah aku ginjak, seraya membujuk diri supaya bertenang dan bertenang.
Dasar budak baru, tempatnya haruslah di barisan paling belakang! Bertambah cuak rasanya kerana baris belakang bukanlah satu pilihan yang aku gemari! Bersama aku, pada hari tersebut, ada seorang lagi pelajar baru. Engkaulah itu! Ya, Fariza dan Kamariah adalah dua pelajar baru berpindah pada tahun empat ke SKB. Aku masih ingat, pada hari pertama engkau tiba ke sekolah berdandan kemas satu di belakang. Kita sama-sama berambut panjang dan oh! Rata-rata kita semua tidak bertudung! Aku sendiri masih mengenakan pinafore senteng! Jauh benar rasanya bi’ah kala itu berbanding sekarang, bukan!
Seingat aku, hari pertama kita tidak banyak berbual, sekadar bertukar nama dan sedikit latar belakang kenapa kita di situ. Persamaan kita adalah pada hakikatnya yang kita sama-sama pelajar baru, kedua-duanya anak guru dan kitalah penghuni barisan belakang di dalam kelas 4A, berpindah ke situ kerana tuntutan kerja kadua orang tua kita sebagai guru, dan oh kalau boleh aku tambah, tocang kita juga tidak kurang panjangnya!
Masih bolehkah kau ingat nama-nama sahabat di kelas yang sama ketika itu? Hmm .. dalam tempoh yang telah terlalu lama kita tinggalkan, aku secara jujur tidak mampu memperihal satu persatu nama mereka. Mungkin sekadar menyebut beberapa nama seperti Rosnaida (Mek Da), Khairiyah (Koyah), Shahida Murni (Ida), Mahfuziah (Mah), Azizawati (Yanti), Norzalina (Na), Narosedah (Na), Azlida (Adik), Rosnaini, Hasanah (MakSu), Mariam (Yam), Anis, Saidi, Ismail, Hishamuddin, Ismail (Anak), dan Pok leh (Ayah?).  Ternyata, tidak semua yang mampu aku ingat!
Namun pastinya nama R. Kamala tetap dalam simpanan memori. Dialah guru kelas kita yang gemar sekali mengenakan sari yang pelbagai warna. Di kala sekolah kita menerima guru praktikal dari Maktab Pasir Panjang, Kota Tinggi, Johor, kita menerima guru sementara yang mengambilalih tempat cikgu R.Kamala. Masih kau ingat nama Cikgu Zakiah Awabi? Orangnya lemah lembut, suaranya tidak pernah ditinggikan di hadapan pelajar namun nadanya sedang-sedang masuk ke pendengaran kita. Cikgu Zakiah, di mataku seorang yang cantik, berperawakan menarik pula. Lalu tidak hairanlah apabila Cikgu Zakiah hampir tamat tempoh praktikal, kita berasa seperti tidak mahu kehilangannya. Apalagi dia tidak lupa menitipkan tiga hadiah berbalut kemas kepada cikgu R.Kamala untuk mana-mana pelajar yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga; kerana di minggu terakhir Cikgu Zakiah di sekolah, keputusan peperiksaan belum siap dijana. Lihat, indah sekali pekerti seorang cikgu, yang gemar memberi, dan oh, tidak ketinggalan setiap kita sudah dititipi beg duit kecil berchop Maktab Perguruan Pasir Panjang sebagai tanda ingatan.
Bila keputusan peperiksaan penggal pertengahan diumumkan, kita terkesima. Kau dan aku. Kita sama-sama meraih tempat pertama lantaran markah kita tidak kurang atau terlebih satupun! Inilah pengalaman indah yang aku kira semakin mengeratkan pertalian silaturahim kita. Dan oh! Hadiah itu! Masih kau ingat bagaimana Cikgu R.Kamala menyelesaikan pembahagian hadiah? Oleh kerana keputusan tempat pertama tidak diduga akan kita rangkul bersama, hal itu akhirnya memaksa cikgu R. Kamala meminta kita menutup mata, lalu dua hadiah itu diletakkan di lantai kelas. Kau dan aku teraba-raba mencari bungkusan kecil berpetak itu. Nasib aku kurang baik, kotak di tangan rupanya tertulis ‘Tempat ke-2”, manakala di tanganmulah hadiah “Tempat Pertama”. Namun, kerana cara cikgu aku kira adil, jadi aku menerima hadiah itu seadanya. Sebatang pen teknikal berwarna perak dan biru menjadi milikku. Kau pula, berwarna emas dan merah! Aku kira, di usia sepuluh tahun, rakan-rakan kita pasti berasa cuak melihat kita. ‘Pendatang baru’ merampas takhta akademik, sekaligus menarik perhatian dan mata para guru. Alhamdulillah, di atas segala nikmat, khususnya pertemuan kita!
Darjah empat merupakan lembaran baru dalam kehidupan kita. Bukan kerana kita baru sahaja dipertemukan, malah banyak hal yang indah-indah untuk dikenang berlaku dalam sejarah kehidupan kita. Tidak kurang juga pengalaman pahit bila mana ada seorang guru kita yang gemar memukul kepala pelajarnya dengan pembaris kayu yang panjang! Kau masih ingatkah nama guru itu?
Binjai bukanlah kota metropolitan, malah bukan juga sebuah bandar dengan ertikata kemudahan dari sudut kemewahan, prasarana, membeli belah mahupun dari sudut pendidikan sekalipun. Binjai, kampung kita hanyalah sebuah tempat yang berjarak sekitar 7 hingga 8 kilometer dari pekan Chukai yang ada ketika itu. Berlatar belakangkan tahun-tahun sekitar 80-an, apalah sangat hiburan atau pendidikan-hiburan (Edutainment) yang ada? Astro dan Internet jauh sekali. Yang ada hanyalah sebiji peti televisyen di almari rumah hanya bilangan siarannya juga boleh dibilang dengan jari. Talian telefon, selain talian rumah, telefon awam seringkali menjadi alternatif paling mudah untuk berhubung. Aku masih ingat, kala petang, sering juga aku mengayuh basikal biru menuju pondok telefon awam di seberang jalan hadapan rumah untuk mendail rumahmu. Kita bersembang sambil bergelak ketawa, seolah-olah dunia ini milik kita sahaja. Aku terlupa barangkali banyak telinga yang mendengar ocehan dan pertuturan aku di gagang telefon. Ah, aku tidak peduli sesungguhnya!
Setahun di darjah empat, seperti sang belati membelah masa. Begitu pantas setahun kita lalui. Menjelang darjah lima, kita menerima khabar gembira apabila kita dilantik menjadi pengawas sekolah. Bersama-sama kita, dalam barisan pengawas adalah Azizawati (Yanti), Hishamuddin (Tok Mudim) dan Saidi (Sai). Hanya kita berlima menjadi pengawas untuk keseluruhan darjah lima. Betapa kecilnya sekolah kita Kay! Jika kini, bilangan kelas untuk satu-satu tahun boleh mencecah enam kelas, di SKB kala itu hanya ada dua kelas sahaja; 5A1 dan 5A2. Diangkat sebagai orang kepercayaan guru, kita dengan gigih cuba menjalankan tugas dengan penuh semangat dan amanah. Menjaga kelas ketika guru tiada, adalah salah satu tugas ‘hakiki’ seorang pengawas, selain menjaga barisan ketika perhimpunan dan ketika waktu rehat di kantin.
Usai bertugas di kantin, kita secara tergesa-gesa pula mencari tempat makan untuk melapik perut sebelum menyambung kelas selepas itu. Saat-saat inilah yang seringkali meniup semilir rindu yang mendalam kepada zaman persekolah di SKB. Padang yang luas terbentang itulah tempat makan kita. Sungguh mewah aku kira kerana kita bebas memilih mana-mana sudut untuk menjamu selera dan apabila loceng sekolah nyaring memanggil kita untuk kembali ke kelas, masing-masing akan berlari anak sambil tangan membimbit plastik bekal daripada ibu dengan perut berisi gembira.
“Petang ni ada netball dok? Napok  jo’ong macang nok ujang!”
“Ada .. ada .. pukul tiga, pakai bibs macang biasa.”
“Weh, bola dok ambik agi dalang stor!”
Itu antara dialog biasa kita. Betapa, lahirnya kita sebagai anak watan Binjai, diperkaya pula dengan dialek Terengganu yang indah dan komprehensif, aku tentu sekali berasa sungguh bangga! Bercakap tentang dialek, walau sekajang kertas kita mencoret pastinya tidak habis diperkatakan, justeru kekayaan kosa kata kita begitu unik serta kadang-kala sukar untuk diterjemahkan dalam bahasa Melayu rasmi.
Begitu cepat masa berlalu, tiga tahun kita menjadi penghuni yang memeriahkan SKB sebagai anak didik.  Kemesraan para guru, keramahan para teman – semua itu memjadi bekal ingatan buat selamanya. Manakan bias aku lupa bahawa setiap kita – aku, kau dan Yanti – punya ‘bapa mertua’ masing-masing! Tidak mahu aku menyebut nama-nama mereka, kerana akhirnya termaktub bahawa memang jodoh kita bukanlah dengan anak-anak mereka!
Pengalaman di zaman kanak-kanak ini bergitu berpanca warna aku kira. Mungkin kerana utuhnya ikatan hati-hati ini, kau dan aku – tidak pernah putus dalam hubungan meski terpisah oleh lokasi dan masa. Malang sekali, di kala engkau menunjukkan beberapa kad yang pernah aku  utuskan, yang masih selamat dalam simpananmu, khazanah surat-suratmu yang berkajang-kajang itu telah musnah menjadi baja tanah. Aku tidak mahu menyalahkan bonda kerana operasi pembersihan rak buku yang dilakukannya ketiak ketiadaanku di Binjai, kerana aku tahu dia tidak sengaja, atau mungkin tidak pernah tahu bahawa bondongan surat dalam beg plastic yang kusimpan pada arak paling atas itu mempunyai nilai yang tiada tara dari aspek sentimental. Namun, pengkisahan ini aku kira tidak terbantut pun kerana setiap kenangan dan butir air mata yang pernah kita rasai tetap selamat dala simpanan memori seorang aku. Mudah-mudahan sahaja, coretan warkah ini dalam kita langsungkan duhai sahabat, seperti masa-masa nan lalu InshaAllah.
Aku mohon berundur diri dahulu. Banyak perkara yang perlu diberesi, smeentelah para pelajar baru sahaja selesai menduduki peperiksaan semester. Banyak timbunan kertas jawapan yang perlu aku selak dan teliti satu-persatu. Hingga ketemu lagi, jaga dirimu wahai sahabat. Jangan lupa, bahawa hidup ini memungkinkan segalanya!

Sahabatmu, Fariza.


Pertemuan Manis Bersari

Limpah kurnia dan rezeki bukan setakat tergantung pada isu harta, pangkat dan kedudukan. Namun, nikmat sebenar dalam hidup adalah memilik insan-insan penuh cinta dan sayang di sekeliling kita. Pengalaman bersama manusia-manusia hebat dan berimpak kepada transisi diri sebagai hamba merupakan satu ingatan yang sukar dipadamkan. Apatah lagi kebersamaan itu sentiasa ada di atas izin-Nya jua.

Sahabat,
Persahabatan kita terlalu lama usianya. Dalam tempoh yang panjang itu, cukup memberi bekal padu dalam garapan erti silaturahim kerana-Nya.

Mudah-mudahan sahaja SDS menjadi satu realiti. Aku masih buntu untuk menyusun kata, meski kepala sarat jua dengan momen-momen untuk dikisahkan.

Ayuh, kita menulis. Di sini, sebagai permulaan momentum :)