Wednesday 31 August 2016

anggerik ungu ciptaan-Nya

Sahabatku Fariza,
Sungguh masa datang dan pergi, sesekali tidak menoleh kita kembali, dan ternyata tidak berulang semula. Sudah berakhir Ogos, bulan kemerdekaan negara. Ternyata juga bulan September bakal mengambil tempatnya. Banyak peristiwa yang terjadi dalam tempoh hari berganti hari, minggu berganti minggu, dan bulan berganti bulan secara lazimnya mengitari manusia. Ada kisah sedih, syahdu, bahgia, ceria dan girang silih berganti mengisi hari-hari yang berlalu dengan pantas dan tangkasnya. Persis usia kita yang bertambah, dan kita dapat bermuhasabah tentang apa yang diharungi dengan fikir dewasa, maka mudah-mudahan detik waktu yang berubah turut menjadikan kita lebih menghargai makna hidup dan perjuangan yang sebenarnya.
Tentang diri, tentang keluarga, tentang kerjaya, tentang masyarakat, tentang bangsa, tentang nusa dan paling utama tentang agama. Ya, tentang agama yang kita anuti yang menjadi tuntutan sebagai Muslim untuk merealisasikannya dengan jaya. Sementelah bulan merdeka yang menjadi ingatan sepanjang zaman, yang diketahui oleh semua orang khususnya oleh anak muda. Apakah yang dikatakan merdeka dalam erti kata yang sebenarnya?
Kerisauan aku bukan sekadar melihat keghairahan anak muda dengan novel popular, novel picisan, dan novel porno yang melambak di pasaran bahkan melewati kedunguan golongan ini terhadap nusa dan agamanya. Ya, mereka kelompok yang tidak memahami apakah erti kemerdekaan yang sebenarnya. Mereka golongan yang hanyut diterjang arus modenisasi, mereka kelompok yang alpa ditelan gelombang teknologi, dan mereka golongan yang lagha tentang tuntutan agama dan peranan sebagai seorang khalifah di muka bumi yang sesungguhnya.
Mengapa terjadi demikian rupa?
Lantaran ilmu yang diperoleh hanya dijadikan ruang untuk dibangga-banggakan, lantaran ilmu yang dikaut hanya dijadikan peluang untuk menjadi seseorang di pentas kehidupan, lantaran ilmu yang dipelajari hanya dijadikan asas untuk melonjak kemasyhuran, dan lebih malang ilmu yang ada hanya untuk memenuhi kehendak pasaran yang akhirnya segala buku dihumban ke dalam longkang setelah tamat pengajiannya. Allah, begitu menyedihkan dan menyesakkan dada!
Kita, bagaimana?
Suatu ketika, kita menyaring bahan bacaan dengan rapi dan penuh keinsafan dalam jiwa. Suatu ketika, kita meneliti bahan bacaan dengan tunjuk ajar orang tua. Suatu ketika, kita diasuh oleh ibu bapa dengan sarat kasih-sayang yang luar biasa. Maka, jadilah kita anak muda yang menjunjung pekerti mulia, berbudi bahasa dan mencintai agama dengan keutuhan dalam dada. Tidakkah begitu sahabatku Fariza? Masihkah pengalaman di alam persekolahan terimbau dalam minda? Masihkah kenangan di alam kanak-kanak sentiasa subur dalam jiwa?
Ya, tentang dunia pendidikan yang menjadi tanggungjawab semua. Tentang amanah utama sebagai pendidik yang bukan hanya dipundakkan pada para guru di sekolah dan para pensyarah di institusi pengajian tinggi, bahkan ianya menjadi milik semua khalifah di dunia. Para ibu dan bapa khususnya. Para anak-anak muda yang perlu disedari saban masa. Apakah amanah sebagai seorang Muslim yang diutus Tuhan di alam-Nya?
Tentang cinta pada agama. Tentang cinta pada nusa. Tentang cinta pada bangsa. Tentang cinta pada bahasa. Tentang cinta pada warisan dan budaya. Tentang cinta pada erti merdeka yang sebenarnya...
Ini menjadi tanggungjawab buat semua umat yang dijadikan-Nya. Rabb, mohon berikan kami upaya. Mohon berikan kami rasa cinta yang sarat dalam jiwa pada agama, dan pada suruhan yang terkandung dalam kitabullah panduan semua.
Rabb, mohon berikan kami nyawa. Mohon berikan kami rasa cinta pada nusa yang banyak berjasa, dan pada Yang Maha Pencipta yang mewujudkan kami ke dunia.

Di laman rumah, aku terpandang anggerik ungu yang kali pertama berbunga. Indahnya mengisi sukma. Begitu mekar kelopaknya yang menjadikan mekar cintaku menguntum pada Yang Maha Pencipta. Siapa kita sebagai hamba?
Ayuh, bersiap siaga kita mengharung rona dunia. Mohon al-Wahhab al-Ghaffar al-Jabbar berikan kita kekuatan untuk mendidik anak bangsa agar menjadi manusia yang sebenarnya. Persis anggerik ungu yang dicipta-Nya memerlukan baja, maka anak muda di luar sana memerlukan kita mengasuhnya dengan gandaan agama buat bekalan nereka menghadapi selirat duga.
Begitu masa berlalu, dan bulan berganti jua. Zulkaedah bakal berlabuh, Zulhijjah bakal menyapa. Rumah-Nya menari-nari di mata. Allah, izinkan kami menjadi tetamu-Mu semula buat mengubat rawan rindu yang menyala-nyala!

Tuesday 30 August 2016

Bahtera Merdeka



Assalamualaikum sahabatku Kamariah

Aku mencuri sedikit masa untuk menulis. Tulang belulang dan urat belikat seakan batu. Begitu duduk di hadapan komputer kerana tuntutan untuk menyiapkan kursus MOOC membuat aku putus hubungan dengan dunia luar seketika. Masa begitu pantas seakan pergi tanpa belas simpati. Dan aku pula umpama si kura-kura yang merangkak mengejar mentari sebelum teduh malam menjelma sedangkan jaraknya masih tidak terduga. 

Esok - Malaysia bakal meraikan ulang tahun kemerdekaan. 
Malam ini pasti meriah sekali pesta menyambut kedatangan tahun baru kala jam berdetik tepat pukul 12 tengah malam. Sungguh, aku tidak pernah berpeluang, atau barangkali tidak pernah mengambil peluang secara tepatnya untuk bersama-sama gerombolan manusia di Dataran Merdeka untuk melaungkan kalimah keramat itu hingga bergema di ruang atmosfera. Aku hanya pemerhati kecil yang hanya sesekali menjeling kaca televisyen, atau si pendengar setia kepada gempa gempita bunga api yang berdentum di langit sana. 

Beberapa abad berlalu, sambutan kemerdekaan tetap begitu. Penuh kemeriahan luaran, penuh pesta ria yang menyunting senyum tawa. Namun makna sebenar di sebalik derita rusuh jiwa lara pejuang kemerdekaan itu, adakah dirasa? 

Hey, entah kenapa .. bila bicara tentang ini hatiku tiba-tiba meruntun rindu. Rindu pada pengalaman lalu. Entah di mana relevannya ingatan ini, aku sendiri masih mahu mempersoalkannya, hah! lalu izinkan aku meneruskan catatan!

Kau tahu Kamariah, di saat jari mengetik aksara pada komputer riba ini, aku toh menyulam ingat kepada karya-karya penuh makna, dan anehnya semua ditulis karyawan hebat dari seberang. Pak Hamka misalnya, memberi aku satu sudut pandang berbeza tentang hidup .. Pramodua Anata Toer, membuat aku diulit indahnya lenggok bahasa namun dalam masa yang sama membuat aku lebih matang meneliti makna perjuangan dan kesetiaan.. atau Marya A. Sardjono begitu membugarkan rasa cintaku kepada Herman, meski watak itu hidup dalam khayalan! 

Aku akui yang musim-musim terdekat aku begitu jauh dengan novel dan karya kreatif kerana di kebanyakan waktu aku meneleku penulisan akademik yang berkajang-kajang! Namun itu tidak membunuh rindu dan cintaku kepada pembacaan bahan-bahan yang diolah laras bahasa yang indah lagi menyenangkan! Aku kira, novel-novel itu, meski dalam kuantiti yang sedikit- banyak memberi pengaruh dalam cara aku melihat kehidupan dan realitinya. Nanti, bila kita ketemu aku ingin sekali berbahas tentang itu. Bagaimana sudut pandangmu sebagai seorang pakar dalam dunia penulisan .. tentang mutu bahasa dalam novel-novel popular masa kini. Aku pasti kau punya banyak cerita dan buah fikir untuk dikongsi! Hatta aku sekecil-kecil manusia dalam dunia penulisan kreatif tidak pernah berasa 'kenyang' apabila membelek novel-novel di lambakan pasaran kini. Kenapa? Pertamanya, tentu sekali gaya bahasa yang tidak lagi meruntun jiwa, mendayu di hati. Kedua, tentu saja kerana tema dan persoalannya tidak lagi sesuatu yang perlu difikir, direnung dan direflek! Sama seperti Drama Korea yang kisahnya hanya seputar cinta, darjat dan harta. 

Wahh .. jauh sekali lamunan akalku sahabat! 
Dari hendak berceritera tentang merdeka, aku terhanyut ke muara ini! 
Maaflah jika contenganku tidak memberi makna apa-apa. Aku sekadar mahu sekali mencoret seperti dahulu. Aku rindukan masa-masa lompang untuk diisi dengan ketukan jemari mengatur ayat, menyusun cerita. Aku rindukan zaman kita berkongsi segala rasa dari yang sekecil hingga sebesarnya. Mungkin kerana di saat ini, jauh di perdu jiwa aku mencari sesuatu yang hilang sementara. Lalu mungkin contengan ini bisa saja mengubat lara jiwa yang lelah sehari-hari mengejar dunia. 

Apapun sahabat, semoga hari kemerdekaan ini memberi kita ruang untuk berfikir semula. Apa makna merdeka dalam erti kata yang sebenarnya? 

Salam permisi. 
Secret Recipe Alamanda