Monday 30 November 2015

Kita yang merasai




Hahahah! ingatkah lagi gambar ini? dan yang pasti sejarahnya kenapa gambar ini diolehmu sebegitu rupa? Hanya untuk menutup kera di belakang!

Hey, jom kita tukar mood.
Melihat foto ini tiba-tiba sahaja melankolikku hilang .. geli perut mengundang, mengingatkan bengangnya kita pada si polan perosak foto hahahahaha!

Jomlah kita bertemu dalam masa terdekat. Otak terlalu sarat dengan kusutnya fikir - lalu dengan harapan pertemuan kita bisa merungkai bengkak-bengkak di kepala. Aku rindukan masa hilai kita sahabat. Entah, perasaan itu tidak aku rasai apabila bertemu sahabat2 lain di fakulti misalnya. Ternyata, sahabat lama tetap ada tempat yang istimewa dalam diri!

Hujan lebat mula melanda tanah Binjai.
Kak Ziku khabarnya sudah bersiap siaga mengemas rumah yang yang satu lagi sebagai pangkalan untuk berpindah jika keadaan memaksa kelak. Kasihan orang Binjai dan Kemaman. Setiap tahun perasaan bimbang akan kehadiran bah berulang sentiasa menghantui. Syukurlah juga Batu 4 dan Batu 5 sentiasa terselamat - mudah2an keadaan itu kekal selamanya ye sahabat!

Aku rindukan Binjai, sesungguhnya.
Rindu sekali mengenang saat2 indah kala usia bocah. Uh, sudah berapa juta kali kita ulang hal ini. Tidak jemu sesekali, malah!

Eh, aku terlupa ada janji dengan pelajar.
Permisi dulu!


Antara dunia sini dan sana



Sahabatku Kamariah,

Relung waktu .. toh begitu jauh menelan hari-hari berlalu. Aku bagai tenggelam ke dasar pusaranan air yang menjerumuskan aku ke satu sudut yang sunyi. Hampir-hampir lemas aku dengan igauan sehari-hari - mana artikel, mana penyeliaan, mana mesyuarat, mana .. mana.. dan mana..

Aku tahu hutang menulis di sini masih tercatat pada pundakku. Lalu maafilah aku sahabat kerana tidak ampuh menangkis tangan-tangan yang menarik hari-hari dan masaku untuk kembali menulis meski jika dihitung, sarat sekali rasanya zihni ini untuk berbicara denganmu.

Aku pernah membaca catatanmu tentang mreka yang pergi bertemu Yang KHalik .. ada malah yang sama usia dan lebih muda dari kita. Aku juga punya seorang sahabat yang baharu berpergian. Perginya tanpa pesan dan perginya tiada kembali. Sesaat aku menerima berita pemergiannya dunia terasa kaku tidak berputar. Sesungguhnya ini satu 'peringatan' bahawa pulangnya kita memang tiada tanda atau jemputan awal.

Dalam hari-hari yang terdekat ini juga, aku menerima khabar mertuaku sendiri kini disahkan penghidap barah. Lalu hari-hari terdekat ini juga aku melihat bagaimana sosok tubuh tua itu bertarung dengan kudratnya yang semakin uzur. Terkadang aku menangis dalam hati melihat mata tua itu kala terketar-ketar menyuap bubur nasi ke bibir. Sesuap, dua suap lalu pantas sahaja seleranya mati.

Aku, hanya manusia lemah. Aku, bukanlah seorang doktor perubatan yang mampu memberi khidmat terbaik. Aku, hanya manusia biasa yang tidak punya apa-apa kepakaran - hanya sekadar mampu memunajatkan doa buntuk kesembuhannya - kerana yakinku hanya satu - sakit mati, semuh segar itu semua punya Allah jua! Lalu Yang Maha Pengasihani lagi Maha Penyembuh, Kau kurniakanlah kesembuhan buat mertuanya ini .. hanya itu yang mampu aku berikan sahabat .. hanya itu.

Masa meski kurasakan pantas beredar namun kala melihat sosok tua itu di hadapan mata membuat otakku berfikir semula. Apakah jika aku di tempatnya, masa yang berputar akan kurasakan terlalu perlahan mengensut?

Pertemuan denganmu seringkali memberi bekas dalam diri - tentang hidup di sini dan di sana. Entah kapan lagi bisa kita mengobrol seperti dulu. Kita ini, dekat tetapi jauh sekali. Tidakkah kau rasa begitu? Namun aku mengerti benar kesibukan kita di bumi kampus. Mudah2an sesekali ada ruang senggang untuk kita menghadap sesama sendiri kerana pastinya banyak pengajaran hidup yang bisa kita gali dan taakuli.

Entah kenapa aku tiba-tiba menulis tentang isu ini. Mungkin kerana hati terpanggil begitu.
Surat ini khazanah kita.
Entah bila bisa dikongsi bersama pembaca?