Tuesday 12 December 2017

Merungkai Rindu

Sekian lama tidak bertemu sekian lama tidak berkongsi kisah dan sekian lama tidak berkongsi resah menerbitkan rindu yang tidak terungkap dengan kata-kata. Benar, persahabatan sejati tiada nilaiannya dan amat bermakna. Pun, kesibukan tidak membataskan pertemuan yang membenih nostalgia.

Fariza sahabatku,
Musim berlalu, dan banyak yang kita pelajari. Masa berlari, dan banyak yang kita renungi. Tak terhitung sebenarnya nikmat Ya Rabb Tuhan yang Maha Memberi. Diuji dengan pelbagai emosi, diduga dengan pelbagai perasaan dan nubari. Pun, akhirnya kita menjadi tekal dan berani. Terkenang sahabat kita kala kecil, Yanti. Dia yang turut diuji yang turut menyayat hati. Pun, siapalah kita untuk menolak ketentuan ilahi?

Sahabatku Fariza,
Usia kita pun sudah mencecah 44 tahun angka. Betapa banyak yang kita belajar saban masa. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya jua. Terima kasih sahabat atas luhurnya persahabatan kita yang kukuh terbina. Kembaraku ke bumi al-Fateh baru-baru ini cukup menyuntik rasa. Benarlah katamu, bumi Turki amat mempesona. Ya, aku benar akuinya. Perjalanan itu bukan sekadar dapat melihat ajaibnya bumi Tuhan bahkan dapat membugar rasa cinta pada perjuangan Islam yang ada dalam jiwa.  Malahan membawa semangat utuh untuk terus bangkit mengharungi uji dan duga.

Saban waktu masa yang kita lalui bersama, saban itu mencipta manisnya momennya yang sukar diungkap dengan kata-kata. Terima kasih kerana meletakkan luhurnya sebuah ikatan dalam persahabatan antara kita.

Fariza sahabatku,
Sempena 2017 yang bakal berlabuh, moga kita terus gagah berlari dan berlari tanpa henti. Walaupun kekadang ujian yang datang melemahkan diri. Doaku kita tetap yakin dengan segala ketentuan-Nya dan berlapang dada dalam lubuk nurani. Sehingga ketemu lagi, ternyata pertemuan di Bangi Kopitiam dapat merungkai rindu yang sekian lama terpendam dalam hati.

Tuesday 7 February 2017

Kemaman yang dirindu




Kala petang, hati menerawang .. aku membuka kembali fail lama manuskrip SDS lalu terjumpa satu penulisan yang belum sempat aku terbitkan di sini. Mungkin untuk simpanan kita bersama :) 

Kemaman bukanlah satu daerah yang terlalu besar. Malah Bandar Chukai, namanya juga tidaklah segah Kuala Lumpur atau bandar-bandar yang lain. Bagi sesetengah yang lain mungkin jarang sekali mendengar nama Chukai, Kemaman serta tidak pernah pula menjejakkan kaki ke daerah kecil ini. Namun, hakikat bahawa nama Kemaman atau Chukai tidak se’meriah’ bandar-bandar lain diperkatakan, sebagai anak watan, aku tidak pernah berasa sangsi  di hati bahawa Kemaman, satu daerah penuh makna yang banyak melimpahkan warna-warna pelbagai dalam siratan episod kehidupan kita.

Manakan tidak, lahirnya aku, pun di bumi Kemaman. Hospital Daerah Kemaman itulah saksi pertama aku membuka mata ke dunia ini. Sebagai anak bongsu, kelahiran aku disambut oleh tangan pegawai perubatan, dan bukannya bidan kampung – sebagaimana yang terjadi kepada kedua kakakku – Khairan dan Ruziah. Bonda Sarinah pernah bertanya kepada aku ketika usiaku sekitar lapan tahun – ‘Za nak adik lagi?”. Aku pantas menggelengkan kepala tanda prostes. Aku tidak mahu adik! Mungkin kerana aku terlalu selesa sebagai anak bongsu, yang saban hari diberi perhatian oleh semua dalam keluarga; Pak, Ma, Kak Yang dan Kak Zi. Lalu status bongsu ingin aku pertahankan.

Tidak pernah aku terfikir bahawa gelengan tegas aku itu diambil serus kedua Ma dan Pak. Kerana gelengan aku yang bersungguh-sungguh itu juga,  Ma dan  Pak aku mengambil keputusan untuk terus menjadikan aku anak bongsu. Tidak pernah aku tahu hal itu Kay, sehinggalah pada suatu petang yang bening, beberapa bulan setelah pemergian arwah Pak, Ma aku membuka bicara. Mereka memutuskan untuk tidak lagi menimang cahaya mata yang baharu, kerana bagi mereka, itu adalah permintaan aku. Ya Rabb! Besar sekali makna protes aku itu, meskipun barangkali aku sendiri tidak pernah benar-benar memaksudkannya pada usia sehijau itu. Malah tidak pernah terfikir bagaimana untuk menjadi seorang kakak, jika benar-benar Allah mengurniakan kami seorang lagi ahli keluarga. Tegas Ma, keputusan itu mereka ambil kerana aku. Kerana aku anak kesayangan dan setiap permintaan aku seboleh mungkin ingin mereka penuhi dengan segenap jiwa raga dan roh sebagai orang tua.

Peristiwa tu telah berpuluh tahun berlalu  Kay. Namun sehingga usia mencecah sebegini matangpun, aku tidak pernah dapat melupakan kenyataan itu. Perasaan aku? Sukar sekali untuk aku tafsirkan. Mungkin di sebelah pihak, aku berasa bangga dan gembira, menerima hakikat bahawa sebegitu nilai sayangnya Pak dan Mak kepada aku, si anak  bongsu. Namun, di sudut yang berlainan, jauh terperosok di dalam kabad seorang aku, ada satu garis halus yang pijar sesekali membuat hatiku sendu Kay. Aku menjadi terharu kerana itu aku anggap itu sebuah pengorbanan daripada mereka. Mungkinkah jika kala disua pertanyaan itu, aku  mengangguk laju .. barangkali sekarang aku juga punya adik atau adik-adik yang boleh kusayangi dan kumanjai?

Ah! Jauh sekali Kay, hatiku ini kubawa pergi. Namun seajuh manapun, hakikatnya, kerinduan pada Kemaman, Chukai dan khususnya daerah kecil Binjai terlalu dekat di perdu jiwa seorang aku. Masih aku ingat, sepanjang bulan-bulan terawal setelah pemergian arwah Pak, setiap aku aku pulang ke teratak lewat cuti persekolahan yang agak panjang, air mata merembes tanpa dipinta. Aku memerhati barang-barang tinggalan Pak satu-persatu seolah-ola ingin aku memahat ingatan yang kejap terhadap setiap bentuk, lekuk dan warna barang-barang itu dan tidak akan kulupakan lagi. Seolah-olah pemerhatian itu memberi jiwa dan nafas, seperti aku sedang berbiacara dengannya. Allah .. Allah .. Kay, sesungguhnya kehilangan Pak dalam hidup aku memberi kesan yang bukan sedikit buat kami. Paling hebat implikasinya tentu  sekali terhadap Ma. Ma bergelar janda, kehilangan tempat mengadu, dan yang paling membuat aku cuak dan marah, kerana ada suara-suara nakal orang kampung yang mempermainkan status janda Ma di hadapan aku sendiri. Sungguh kurang pekerti! Namun apalah daya aku sebagai remaja ketika itu yang masih di bangku sekolah menengah untuk menangkis mulut-mulut berbisa mereka. Aku pulangkan seglaanya kepada Yang Maha Khalik. Allahku, daripada-Mu kami dating dan kepada-Mu akhirnya kami dikembalikan.

Kamariah,
Kecintaan dan kerinduan kepada daerah Kemaman bukan sahaja kerana disitu tempat kita membesar atau di situ tempat bersemadi jasad Pak, atau di situ tinggalnya batang tubuh bonda yang semakin tua. Kerinduan menggamit datang kala mengimbau semula lorong-lorong kehidupan yang pernah kita telusuri kala  meningkat remaja. Rakan-rakan sekolah memberi warna yang paling menyerlah dan paling sukar dilunturkan dalam senarai kanvas kehidupan kita. Aku pasti kau juga bersetuju dengan kenyataan ini.

Meski sejauh manapun kita berlari, bertemu dengan manusia-manusia baru yang datang dan pergi dalam keseluruhan perjalanan hidup kita, aku masih tetap yakin dan pasti bahawa nilai persahabatan yang dipateri semasa kita di bangku sekolahlah yang paling bererti. Manakan tidak, pengalaman bersama yang kita lalui, tidak kira pahit atau manis (tetapi aku kira majoritinya memberi ingatan yang manis bersari bukan?) menjadi satu mutiara berharga dalam lipatan pengalaman.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain! Nah! Kalau dibentang satu-persatu nama budak-budak Sekolah Kebangsaan Binjai tentunya semua itu bakal membuat kita menghambur tawa! Wajah-wajah kala bocah, penuh comot dan peluh, serta kotoran biasa pada baju-baju putih kita itulah sebenarnya kehidupan sebenar. Tanpa kotoran, peluh, luka kecil dan sepak terajang di betis – kehidupan kita tentu sekali kosong dan hambar.

Ah! Fikiran aku melonjak-lonjak ria, adrenaline tiba-tiba memuncak tinggi! Dan, kau tahu atau tidak, kala jemari ini rancak mencatuk aksara pada papan kekunci, bibir sedang menguntum senyum yang panjang. Itulah maksud aku, setiap kali mengenang keindahan zaman persekolahan, kenangan itu seperti kapsul mujarab yang mampu mengubat rawan di hati. Senyuman, sengihan silih berganti. Kamariah, betapa nakalnya kita! Betapa gilanya kita! Namun betapa juga indahnya hidup kala itu!

Benar kata orang, masa yang pergi tidak bisa lagi diputar kembali, walau sehebat mana teknologi yang ada, kerana masa yang telah pergi tetap pergi. Namun kenangan itulah satu-satunya khazanah yang bias kita simpan sebagai tanda bahawa kita pernah menghuni ruang masa tertentu. Tanpa kenangan dan ingatan, maka kosonglah makna kehidupan.

Allah .. Allah .. bila aku menoleh seketika ke belakang, begitu terasa bahawa perjalanan kita sudah panjang. Apatah lagi, ketika kepulanganku melawat bonda di Kemaman beberapa minggu nan sudah, begitu menyentuh sudut hati. Ketibaan di Bandar Chukai kala jam 2.30 pagi, memberi aku peluang melihat Chukai yang sedang tidur. Entah kenapa Kay, aku yang ketika itu memandu, tiba-tiba disapa hiba yang tidak dapat kutahan-tahan. Entah kenapa, rasa denyut dalam jantungku bagai menghiris perasaan. Tiba-tiba aku merasakan betapa jauhnya aku telah pergi meninggalkan daerah sepi ini. Tiba-tiba juga aku bertanyakan diri sendiri, apa erti penghijrahanku ke Lembah Klang semenjak tahun 1991 itu lagi. Aku seperti tersedar dari mimpi bahawa aku anak watan yang pulang ke daerah kelahiran, hanya untuk beberapa ketika, kerana selang beberapa hari aku akan kembali meninggalkannya lagi, buat ke sekian kali. Kemaman ternayata tetap indah, nyaman dan penuh kasih-sayang, masih setia menyambut kepulangan kita. Kemaman, meski sudah melalui beberapa fasa perubahan, terutama dari segi kemudahan dan prasarana, toh masih kekal dan tetap menjadi saksi kita membesar, saksi persahabatan kita serta saksi air mata dan hilai tawa.

Begitu sahabat, nilai sebuah daerah yang pernah kita huni kala bocah sehingga remaja, namun kini kita tinggalkan kerana tuntutan kerjaya dan keluarga. Kemaman tidak pernah menyisihkan kita, sahabat. Justeru, daerah inilah yang  memberi paling banyak warna dalam juzuk lipatan kehidupan kita.

Ah, entah apa yang aku bebelkan. Harap sahaja kau ‘tahan’ untuk menelannya. Aku kira, di usia sematang ini, pemikiran kira banyak melalui transisi. Cara kita melihat, menilai dan muhasabah juga melalui fasa tersendiri, bukan! Mungkin kerana aku juga rindukan pertemuan empat mata denganmu, jadi tulisan ini banyak berbaur emosi. Maklumlah, kita ini dekat tetapi jauh. Jarak kira tidaklah beratus batu terpisah namun seringkali masa menjadi pembatasnya.



Duga dan pesan





Barangkali memohon maaf kerana lama menjeruk rasa tidak mencoret sudah mangli di telingamu. Lalu aku jadi segan sendiri untuk menitip ungkapan itu meski terasa benar lamanya kita tidak berutus cerita. Namun aku tahu yang kau lebih dari mengerti. Diam bukan bermakna lupa. Bisu bukan bermaksud benci.

Kamariah, sahabatku.

Hidup kita tidak pernah sunyi dari khilaf dan duga.
Apa yang terjadi kepada ahli keluarga tersayangmu juga adalah duga-Nya. Saat menerima khabar tentang musibah itu aku sesungguhnya terkedu. Bayangan saat-saat cemas di rumahmu tiba-tiba bermain di layar minda. Allahu, besar ujian buatmu sekeluarga sahabat. Namun aku memacu yakin bahawa setiap dugaan-Nya tidak akan terjadi tanpa Dia tahu bahawa kita mampu menerimanya.

Kamariah,
Syukurlah suami serta anak-anakmu masih dalam peliharaan Yang Maha Hafidz .. Maha Raheem! Namun nuranimu kutahu menggendung sarat rasa duka dan lara. Di penghujung doa aku sentiasa mengirim harapan agar kita semua sentiasa dipelihara-Nya setiap masa.

Aku tahu beban yang terpaksa kau lalui lewat musibah yang berlaku bukan sedikit. Namun kekuatan itulah yang menjadi nilai paling berharga. Semoga Allah mengampuni segala dosa kita dan diangkat jua murka terhadap kelalaian kita sebagai hamba.

Hari ini aku kurang sihat secara fizikal. Kepala terasa berat lalu aku memutuskan untuk bekerja dari rumah sahaja. Petang dalam perjalanan pulang dari menjemput Irfan di sekolah, tiba-tiba kereta di baris tepi tiba-tiba masuk ke lorong hadapan lalu aku tiada pilihan lain selain menekan pedal brek agar tidak aku pula melanggarnya. Namun sudah tersurat, kereta di belakangku tidak sempat bertindak pantas lalu bumper belakang keretaku menjadi mangsa. Aku meminggir ke tepi dan kereta di belakang turut sama ke sisi. Aku menoleh ke belakang, ada satu bahagian kecil lampu belakang tertanggal lalu terjatuh di tepi jalan lalu dengan segera aku berlarian ke sana sebelum hancur digelek kereta lain. Sekonyong-konyong selesai aku menghala ke arah kereta, kereta tadi lepas dari pandangan! Aku terpisat-pisat di tepi jalan lalu meneruskan pemanduan  dengan seribu rasa yang bersarang di dada.

Allahu .. ini juga duga. Lalu membuat aku bermuhasabah sendiri mengingat akan segala alpa dan lupa lalai yang selama ini aku mungkin sengajakan. Astaghfirullahal adzim .. sesungguhnya ini satu pesan!

Kamariah, mungkin duga kita pelbagai. Ada yang berat, ada yang ringan. Namun aku melihatnya dari perspektif rasa. Kenapa tiba-tiba ada sesuatu yang berlaku? Kun fayakunn .. dan ia berlaku pastilah dengan kehendak-Nya. Lalu apa mesej di sebaliknya? Aku tiba-tiba gerun sendiri. Lalu awan di langit membiru terasa begitu berat untuk dijunjung. Betapa aku manusia alpa!

Sahabat, semoga musibah ini membawa kita ke satu pengertian lain tentang perhambaan kepada -Nya.. sahabat, tabahlah menongkah arus hidup mudah-mudahan penghujungnya sebuah muara redha.