Saturday 10 September 2016

puncak jabal rahmah

Sahabatku Fariza yang diingati,
Akhirnya, tibalah Zulhijjah lagi. Bulan yang dinanti oleh para jemaah haji. Bulan yang menjanjikan cahaya buat makhluk-Nya di muka bumi. Lantaran bulan ini ada satu hari yang bermakna buat para hujjaj yang terpilih menjadi tetamu-Nya di musim haji ini. Hari demikian adalah hari wukuf yang menjadi kewajipan buat mereka bergelar "haji" untuk berhimpun beramai-ramai.  Aku terkenang musim haji lewat tahun 2003 yang lalu setelah dijemput oleh Allah al-Qayyum al-Fattah al-Razzak penguasa alam ini. Teringat indahnya menikmati pengalaman berbondong-bondong menuju ke Mina, Arafah seterusnya Mudzalifah yang mendidik nurani. Suatu pengalaman yang tiada tukar ganti dalam hidup ini. Kebetulan musim haji itu juga aku bertemu bondamu, kakanda sulungmu di Tanah Suci. Mereka turut menyempurnakan rukun Islam kelima bersama-sama kami. Indahnya pabila bondamu dan bondaku bertemu di kota Haramain, dan makin mengukuh ikatan ukhwah setelah mereka berkali-kali berpeluang menjadi tetamu ilahi.

Sahabatku yang dikasihi,
Aku juga maklum bahawa kau juga pernah menjadi tetamu-Nya bertahun yang pergi. Betapa pengalaman berharga itu tetap terpahat dalam sanubari. Dan satu lokasi yang paling mengesankan tentu sekali puncak Jabal Rahmah yang menyimlan memori. Masihkah kau ingat sahabatku tentang ibrah di puncak bukit kasih-sayang ini? Kala menyingkap sejarah bukit kasih-sayang ini pasti berlinang air mata kerna falsafahnya mengajak kita berfikir seribu kali. Tentang rasa hati dalam menyebar kasih-sayang dalam kehidupan yang menuntut pengorbanan yang luar biasa sekali. Musabab itu kata orang tua-tua kala memanjat Jabal Rahmah, dan bila sampai di puncaknyam maka lambailah dan serulah orang-orang yang dikasihi. Mudah-mudahan orang yang dikasihi itu pula nanti dapat sampai ke Tanah Suci. Itu antara anekdot orang kita, dan harapan sebenarnya hanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui. 
Perkara lain yang menjadi ibrah tentang bukit kasih-sayang ini merupakan tempat pertemuan Adam dan Hawa, pasangan yang diusir Allah dari Syurga, namun akhirnya bertemu di sini. Maha Suci Allah atas segala apa yang terjadi buat kita berfikir dan bermuhasabah tentang kehidupan ini. Lantaran itu pesan orang-orang tua lagi, jika anak muda yang masih mencari pasangan, andai kata berpeluang mendaki Jabal Rahmah, maka mohonlah hajat untuk dipertemukan dengan jodoh yang baik buat diri. Maha Kaya Allah atas apa yang berlaku dalam hidup manusia di muka bumi ini. 
Tentang jodoh, ya tentang jodoh memang di luar jangkauan manusia yang serba daif ini. Berkawan dengan sidia, bersahabat dengan sipolan, dan akhirnya bernikah dengan simisteri. Aneh sekali. Memang aneh sekali hidup ini. Jarang-jarang yang diidam akan menjadi realiti. Kadang-kadang yang dirancang sebaliknya terjadi. Sebahagian sahaja yang mengatur perjalanan hidupnya bahagia menikmati. Rezeki. Ya, ianya rezeki. Segalanya telah ditentukan Allah Yang Maha Mengerti. Rahsia, ya rahsia yang tidak terduga dalam menelaah tafsiran di muka bumi. Siapa kita sebagai hamba untuk bertanya, dan mempersoal segala yang dikurnia dan diberi?

Sahabatku Fariza yang dirahmati,
Begitu masa pantas beredar dan berganti. Usia persahabatan kita juga sudah mencecah angka demi angka yang kekadang membuatkan diri berhenti sebentar menarik nafas untuk menoleh segala memori yang terpahat dalam hati. Banyak yang kita pelajari daripada perjalanan yang panjang menempuh hari demi hari. Syukur yang tidak terperi. Kiranya Allah masih menganugerah kebaikan, kerahmatan dan jeberkatan dalam persahabatan ini. Persis Jabal Rahmah yang pernah kita daki, persis bukit kasih-sayang itu yang pernah kita alami, maka mudah-mudahan begitu juga dengan ikatan ukhwah yang terbina ini. Saban masa aku mendoakan agar ikatan ini tidak terhenti di sini. Moga Allah makbulkan doa hamba-Nya ini, agar persahabatan dan kasih-sayang kita berkekalan hingga akhir usia, dan bersambung di jannah idaman manusia setelah tiada nanti.

Aku, kau dan Yanti. Alangkah indahnya kala mengenang musim kanak-kanak dan remaja kita yang sudah jauh pergi, dan tidak mungkin berulang kembali. Apapun, sekali lagi doa aku tidak pernah pudar dalam hati bahawa mudah-mudahan kasih-sayang kita berpanjangan sehingga usia direngut nanti. Rabb, doa kami agar kasih-sayang ini kekal terpatri nun di jannah rumah-Mu ilahi.


Sehingga bertemu kembali. Salam 10 Zulhijjah, salam hari wukuf di Padang Arafah, salam kasih-sayang nan sejati agar harumnya kekal mewangi!