Friday 20 May 2016

dari jendela kamar

benar, tiada siapa menduga. benar, tiada siapa menyangka. begitu banyak, begitu sarat yang harus kita pelajari daripada takah pengalaman yang datang, dan pergi, dan kembali semula. bahawa perjalanan ini punya banyak rahsia. bahawa perjalanan ini punya sarat cerita. antara kita misalnya. punya banyak rahsia yang disimpan Allah alam semesta. 
 
sahabatku Fariza,
Syaaban sudah masuk hari yang ke-14, bermakna Ramadhan akan disambut dalam beberapa detik masa. mampir benar dalam kesibukan kita dengan pelbagai urusan kerja yang tidak pernah berakhir, dan mendadak tiba. ya, dari hari ke hari, dari minggu ke minggu, dari bulan ke bulan berganjak dengan begitu tangkas persis cahaya. andai cahaya yang datang itu tidak kita manfaat, maka berlalulah ia dengan sia-sia. aku juga diburu dengan masa, dengan deadline beberapa buah kertas kerja. di fakulti kami pula, baru sahaja berakhir Sayembara Puisi Pertanian Kali Ke-2. lega. tidaklah lagi Ketua Jabatan menyoal dan memanggil saban masa. tidaklah lagi para mahasiswa kerap datang bertanya. memang bukan mudah untuk menanganinya. dengan jumlah pelajar yang ramai, yang terdiri daripada 3 kumpulan besar cukup menjadikan pengalaman aku juga bermakna. ya, masuk tahun ini genap enam tahun aku mengajar kursus Penglahiran Bakat Kreatif yang menjadi kursus wajib fakulti untuk mahasiswa. mencabar, ya, begitu mencabar lantaran jumlah yang besar, yang terdiri daripada para pelajar yang jurusannya berbeza. pun, aku berterima kasih pada kursus ini lantaran pena aku makin bernyawa. alhamdulillah, hari ini juga hati aku berbunga. setelah sekian lama meninggalkan penulisan dalam genre puisi, akhirnya ia tersiar dalam majalah Dewan Sastera. 
 
sahabatku Fariza,
kita, memang punya amanah besar yang tergalas di pundak tentunya. kita, memang punya tanggungjawab padu sebagai seorang Muslim dalam mendidik anak bangsa. dengan amanah dan tanggungjawab yang tidak pernah berakhir itu cukup membuatkan diri memautkan kesabaran yang berganda. peranan sebagai seorang isteri, ibu, pensyarah sekali gus hamba Allah yang punya banyak kelemahan mudah-mudahan dapat dibaiki saban masa. tugasan di kampus sebagai seorang pensyarah yang harus bergulat dengan pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penulisan dan pelbagai lagi urusan yang sesungguhnya cukup membuatkan diri bermuhasabah berdepan dengannya. aku juga tidak sempat lagi untuk menghimpunkan kesemua pelajar di bawah penyeliaanku sebagaimana yang dilakukan olehmu dengan jayanya. kesuntukan masa dengan urusan sendiri, urusan keluarga, dan pelbagai urusan begitu membuatkan diri harus mengagihkannya dengan sempurna.
 
dari jendela kamar ini, aku mengintai sebuah memori yang lama pergi pun tidak pernah padam dalam jiwa. tentang musim kanak-kanak kita. tentang musim remaja kita. kerinduan yang tidak terungkap dengan kata-kata. ya, sesungguhnya begitu bererti dalam sukma nan berjelira. moga al-Qahhar al-Qayyum al-Qawi tetap menebarkan kekuatan untuk kita terus berjalan, berlari, dan berhenti sebentar merenung diri dengan pautan iman dan taqwa. moga hari yang tangkas berganti memercik sinar dan cahaya yang berkilau untuk menerangi buana. dan kita antara hamba-Nya yang sentiasa berusaha menjadi lebih baik daripada hari semalam sebelum pulang bertemu Yang Maha Pencipta! 


 

Wednesday 18 May 2016

bila berkongsi

Mei sesungguhnya seperti belati. Aku yang berlari tidak kesampaian mengejar bayang yang pergi, tidak kembali. Semester juga kian hampir ke penghujung. Anak-anak didik di bawah penyeliaan aku kelihatan resah sekali mengenangkan baki tugas yang masih terlangsai sedangkan minggu 14 sudah mula mengintai!

Sahabat,

Pelajar sarjana di bawah penyeliaan aku sebenarnya tidaklah ramai, sekitar 9 orang sahaja. Namun untuk menjaga yang sembilan orang ini bukan mudah. Sedikit sebanyak kesabaran dan kemahiran dalam bermain dengan psikologi dewasa sesekali mencabar jua. Selang beberapa hari nan lepas aku cuba mengumpulkan mereka dalam satu sidang di mana mereka diminta untuk membentangkan kemajuan masing-masing sambil diperhatikan oleh rakan-rakan sekapal. Banyak soal jawab serta perbincangan yang berlaku. Alhamdulillah, aku lihat mereka seperti seorang buta yang bisa melihat semula! Ianya seperti berkata: 'I can see the light at the end of the tunnel!' Itu ungkapan lelucon yang seringkali aku dan sahabat sering ujarkan ketika bergelar pelajar dahulu! Ala kulli hal, sayup di sudut hatiku mendoakan mereka terus dalam momentum untuk meneruskan perjuangan.




Pagi ini pula, aku mengadakan bengkel SPSS untuk mereka dengan harapan agar pertama, bengkel ini dapat membantu mereka melaksanakan analisis statistik dan dapat menulis laporan mengikut format yang betul dan kedua, agar aku tidak perlu mengulang perkara yang sama beberapa kali pada individu berbeza! Memang bengkel ini ekslusif untuk mereka sahaja justeru tidak aku buka kepada penyertaan luar atau pelajar selain pelajar seliaanku. Hampir tiga jam kami menguli data. Pada wajah mereka, aku lihat sekali lagi ada 'sinar'. Sahabat, apa lagi perasaan paling indah selain melihat anak didik kita mengerti dan menaakuli! Perasaan bila berkongsi..!






Aku teringat pesan seorang ustaz terkenal, katanya jangan sebut: ' Hari ini saya tolong si awak, lain kali awak pula tolong saya'; sebaliknya ujarkanlah 'Hari ini saya tolong awak, lain kali ALLAH menolong saya!'



Sunday 15 May 2016

Dari birai rasa

Pantai Chendor - 2015

Sahabatku Kamariah,

Sudah agak lama aku tidak bersengkang mata di kala jarum jam melebih 12 tengah malam. Namun kerana urusan kerja yang penting dan perlu dilangsaikan sebelum menjelang esok pagi, kugagahkan jua mata ini untuk melunaskan amanah dan tanggungjawab seadanya. Alhamdulillah .. kala jam sudah mencecah satu pagi, mata masih 'gagah', lalu terkenangkan pesananmu untuk membaca Surat Dua Sahabat. Duh, catatanmu sememangnya seperti selalu membuat aku kembali ke zaman bocah yang penuh keriangan! Apatah lagi dua pertemuan kita dalam masa yang terdekat menambahkan lagi memori silam yang penuh warna-warni itu!

Benar, saat-saat yang kita sama-sama tempuhi dalam fasa 'mencari jati diri amat bermakna sekali. Kerana keakraban yang dicipta semenjak darjah empat itu, meski kita terpisah deh jarak dan masa, tidak pernah sesekali melunturkan ikatan silaturahmi ini. Justeru, lewat kartu yang berkajang-kajang, kita tetap bertukar cerita, kisah suka dan duka. Malah, tika munculnya novel Amaruszati - Keranamu Aku Menangis, aku berasakan bahawa karya itu seperti analogi kepada persahabatan dan gerak laku kita yang saling mengutus surat demi kelangsungan ikatan. Zaman 90-an, tiada apa yang lebih indah daripada bunyi enjin motorsikal posmen yang bertandang membawa pesan berupa sampul-sampul surat berbelang merah biru yang menjengah di beranda rumah! Itulah saat paling indah! Apa lagi yang kita harapkan, sedangkan di kala itu istilah Facebook belum pernah muncul, WhatApps masih jauh dari mimpi, Twitter jauh panggang dari api! Menulis dengan tulisan tangan, hasil perahan otak dan rasa yang membekam - merupakan satu proses yang aku kira tidak ramai yang akan menghargainya kini. Justeru itu juga, aku seperti melihat proses penulisan surat-surat dari hati dan jiwa seperti yang pernah kita lalui sebagai sesuatu yang asing, khususnya untuk anak-anak muda pelapis bangsa kini. Penulisan warkah seumpama yang kita lakukan juga, bagi aku menuntut keikhlasan serta bunga rasa yang mewangi. Kita sesungguhnya memilih untuk berutus surat kerana kita ada rasa percaya. Percaya bahawa setiap apa yang dinukilkan pasti dibaca oleh pihakyang lagi satu dengan penuh rasa dan percaya juga.

Zaman berubah.
Manusia pun turut sama dalam arus yang melanda. Kini, penulisan maya melalui entri di blog merupakan alternatif yang aku kira amat praktikal untuk kita terus berhubung. Aku sendiri malah, terasa agak kekok untuk mencatat kisah panjang melalui leretan pen pada kertas yang bisu, justeru tahun-tahun yang dilalui dalam akademik banyak membina cara aku berfikir sepantas ketukan aksara pada papan kekunci. Aku mungkin kelu pabila menulis menggunakan pen seperti dulu! Namun sahabat, biar apapun wacana atau wadah perkongsian rasa kita, aku dan kau masih tetapi 'kita'.




Pertemuan beberapa hari sudah juga membuah semangat padu untuk kembali menghidupkan usaha SDS ini! Cuma, maaflah semalam aku diserang migraine hebat, gara-gara berpanas terik di sekitar Putrajaya bersama sekumpulan pelajar dari fakulti untuk projek Fotografi kelas kami. Begitu seornok mereka aku perhatikan. Maklumlah jarang-jarang sekali mengikuti perjalanan ke 'dunia' lain selain kampus.








Lihatlah keriangan mereka Kamariah. Begitu menggamit ingatan kepada zaman kita di usia sebegini bukan? Fasa kehidupan yang paling indah tentunya di bangku universiti untuk ijazah pertama. Sesungguhnya, tugas sebagai pendidik membutuh jiwa yang besar. Sesekali, penghargaan dariapda para pelajar menjadi penwar mujarab kepada rasa duka jiwa dan lara, bukan?

Alhamdulillah anak Arwah Haji Khalid dan Haji Kamarudin tetap mengikut langkah bapanya. Mudah-mudahan saja tugas kita ini dikita pahala. Allah ya Allah, Kau perbetulkanlah niat kami untuk mendidik anak bangsa, agar akhirnya mereka tumbuh seperti pohon besar yang menaungi bumi, memberi manfaat dan kebaikan buat semua .. amin y rabbal aalamin.

Sahabat, aku menulis tanpa tema .. hanya mengikut ketukan jari jemari. Maaf dipinta andai terkasar bahasa. Mata sudah mula terasa berat. Aku permisi dahulu!



dari dalam jiwa

Sahabatku Fariza,
Begitu masa yang berganti tidak sesekali akan menoleh kembali. Pergi jauh meninggalkan kita seolah-olah angin yang berhembus yang berganti saban hari yang hembusannya tanpa disedari. Persis angin, banyak sekali perkara yang mendatangi diri yang tidak sempat untuk kita kongsi lantaran pelbagai kekangan yang mendatangi.

Kau dan aku yang terlalu diburu kesibukan yang bukan kepalang. Kau dan aku yang diuji dengan saratnya ujian dan dugaan. Kau dan aku yang tidak punya waktu untuk dipertemukan.


Sehinggalah saat nostalgia kala alam persekolahan itu muncul mencuri memori. Terlalu banyak kenangan indah yang membuatkan diri tersenyum sendiri. Walau ianya sudah jauh pergi, namun ianya tidak sesekali terpadam dalam nubari. Bagaimana kita suatu ketika terlalu aktif di sekolah sebagai pelajar yang bukan sahaja dikenali bahkan disanjungi. Maklum sahaja dirimu yang diamanahkan sebagai ketua pengawas ketika kita berada di darjah 6, masih itu kau ingati? Seorang ketua pengawas yang memiliki aura yang tersendiri; dalam sibuk menguruskan tugasan di sekolah, masih sempat pula kita menguruskan kesukaan aktiviti.


Aku, kau dan Azizawati mencipta kumpulan sebagai teman akrab di alam persekolahan. Kumpulan yang kita namakan "black cat" yang menyebabkan pelajar lain cemburu dan geram. Alhamdulillah, setelah 43 tahun usia kita kini, kenangan bersama blackcat tidak pernah terpadamkan. Dalam kesibukan kita dengan aktiviti persekolahan, sempat pula kita mengumpul setem pabila waktu kelapangan. Kita punya album setem sendiri untuk menyimpan koleksi yang beraneka bentuk dan keluaran. Menarik bukan? Kita bukan sahaja sudah pandai mengirim surat bahkan sudah bijak mencari kenalan. Namun, apa yang mendewasakan kita lebih menghargai makna persahabatan. Surat-surat antara kita sering kunjung datang dan berbalasan. Sejak kau diterima masuk ke sekolah menengah agama di Kuala Terengganu, dan meninggalkan aku dan Azizawati di daerah kelahiran, begitu menyebabkan diri kesepian dan sesekali dirundung kesedihan. Pun, surat-surat yang dikirim mengikat sebuah ketulusan yang membahagiakan. 

Seorang Fariza yang bijak dalam pelajaran tetapi nakal dalam pergaulan cukup membuatkan diri tersenyum lagi. Tentang kenakalan kita sebagai anak jati Binjai yang sentiasa mencari aktiviti. Ada sahaja yang mahu diterokai. Ada sahaja yang mahu dipelajari. Ada sahaja yang mahu dicarigali. Masih kau ingati? Kita punya kebun kangkung untuk projek sekolah yang menyebabkan usaha kita berbaloi sekali?


Hujan di luar mencurah-curah tanpa henti yang menyebabkan kenangan di alam persekolahan memanggil datang. Pun tidak sempat aku catatkan kesemuanya lantaran sikecilku, Khalisha juga merengek untuk diberikan perhatian. Sehingga ketemu lagi, sesungguhnya dua pertemuan kita tempohari cukup menyemarakkan warna persahabatan yang sekian lama tenggelam dalam saratnya kesibukan. Moga kau dan aku sentiasa dalam perlindungan ar-Rahim ar-Rahman!