Monday 20 July 2015

Ramadhan yang pergi, Syawal yang menanti

Sahabatku Fariza,
sudah masuk Syawal kelima hari ini. alhamdulillah masih Allah meminjam hayat buat kita meniti bilah hari. ternyata pula begitu tangkasnya ia pergi, dan tanpa kompromi melanjut hayat kita, dan bertambah dosa dan pahala sebelum dipanggil pulang menghadap Ilahi.
 
Allah, kami hanya hamba-Mu yang kerdil cuma.
 
Ramadhan baru sahaja pergi. ternyata jua ia membuatkan air mataku berderai. mengenang sepanjang bulan kerahmatan, dan pembebasan daripada api neraka itu berlalu dan tidak pasti pertemuan kita adakah lagi?
 
berbanding kala musim kanak-kanak yang kita lalui. kita begitu berbahagia mengharunginya tanpa sesekali memikirkan tentang proses hidup dan mati. yang paling mengujakan tentulah menghitung hari menyambut lebaran yang akan ditempuhi. berapa pasang baju raya yang ditempah emak, berapa balang kuih raya yang sempat diadun, berapa jumlah pungutan duit raya yang bakal diperoleh; antara kenangan kita kala musim kanak-kanak yang tentunya tidak akan kembali.
 
sahabatku Fariza,
sejauh perjalanan ini, sejauh pengalaman ini, sejauh kedewasaan ini, apa yang telah kita kutip dan buru?
 
Aku sudah 41 tahun pada 23 Mac yang lalu, dan kau juga bakal menikmati usia sebegitu tanggal 15 November nanti. dua tarikh keramat kita yang tidak pernah aku lupa sampai kini. Begitu berbeza kedatangan Ramadhan dan sambutan Syawal pabila usia mencecah angka 40-an begini. Yang sering berlegar dalam tempurung kepala bukanlah kegembiraan dan keseronokan tetapi kerisauan dan kegalauan yang menghantui.
 
Bila ramai sanak saudara yang pergi, bila ramai sahabat taulan yang dipanggil pulang bertemu Ilahi, bila ramai makhluk Tuhan yang tiada di muka bumi; ia sesungguhnya menambah syahdu dan sayu merayap diri. Dan kita bagaimana nanti? Allahu Rabbi.
 
bagaimana Ramadhanmu yang lalu sahabatku? dua anakmu tentu berpuasa penuh bukan? anak sulungku kekadang kelelahan pulang dari sekolah, dan meminta untuk berbuka. maklumlah dia kurus kecil yang membuatkan aku mewah simpati. anak kedua pula belum berpeluang berpuasa penuh kerana tidak sampai hati untuk mengejutkannya bersahur. namun, guru di tadikanya sudah melatihnya berpuasa dengan tidak memberi sarapan sehingga menjelang tengahari. hari pertama Ramadhan, dia pulang dengan regekan manja "semalam angah sakit perut sebab cikgu tak beri makan" yang menjadikan simpatiku bertubi. oh, anak-anak. maka kala melihat keletah dan kerenah anak-anak tentu sekali mengenang memori kita sepanjang Ramadhan kala kecil bukan?
 
apa kenangan terindah yang mekar dalam sanubari?
 
hari Ramadhan kita yang panjang. dari pagi berpuasa setelah usai sahur, sehingga menjelangnya zohor, asar dan menanti azan maghrib berkumandang begitu mencabar keupayaan diri. aku mula berpuasa kala usia 6 tahun, seusia Zahra Khayra, anak keduaku kini. pun, masih memahami apa erti puasa yang sebenarnya? kerap jua tuang solat walhal solat itu tiang agama berbanding tidak wajib berpuasa dalam usia kecil sebegitu rupa. dan benarlah kata ustaz yang aku dengar bahawa "apa guna berpuasa kalau tidak bersolat, dan kalau berpuasa pasti diiringi dengan solat. jadi, jangan paksa anak-anak puasa, kena wajibkan anak-anak solat dulu, nanti rasa wajibnya untuk puasa datang sendiri" yang terngiang di telinga. dan pabila melihat anak-anak, inilah yang patut diterapkan pada mereka. pun, pendekatan dan cara didikan orang tua dahulu ternyata berbeza.
 
dan kau bayangkan dalam usia 7 tahun, aku sudah genap berpuasa selama 30 hari. hebat bukan berbanding anak sulungku Zahra Kamila yang sentiasa lapar, duhai.
 
apa lagi kenangan yang terukir?
 
menjelangnya malam tujuh likur, pasti aku dan along meminta ayah carikan bunga api dan mercun. pagar rumah kami pula dikelilingi lampu lip lap dan sumbu pelita. kata orang-orang tua, Malaikat datang menyapa untuk rumah yang "bercahaya". kala itu tidak diketahui pun apakah "lailatul qadar". Aduhai.
 
banyak sebenarnya memori kala musim kanak-kanak kala Ramadhan. kala menoleh kenangan yang pergi ia sesungguhnya membuatkan hati tersentuh. tidak mungkin ianya kembali, dan bila mengenang kehidupan kampung kita yang damai permai ia sesungguhnya kenangan manis yang tidak sesekali tersisih dalam diri. 

Sahabatku Fariza,
banyak sebenarnya yang hendak aku catatkan. pun, azan subuh sudah memanggil untuk aku menghadap-Nya. hari ini syawal sudah masuk hari kelima. moga Allah menerima amalan kita. moga Allah mengampuni dosa-dosa kita. moga Allah merahmati seluruh ahli keluarga kita yang telah tiada. moga Allah melindungi dan  mengasihani kita sempena sayawal nan mulia. dan moga ada pertemuan kita hendaknya.

mohon berundur dulu sahabatku. moga diberikan keizinan Allah untuk aku menulis lagi buat inpirasi kita meniti hari yang pantas pergi, mudahan diberikan kesihatan yang baik buat kita selalu.