Tuesday 12 December 2017

Merungkai Rindu

Sekian lama tidak bertemu sekian lama tidak berkongsi kisah dan sekian lama tidak berkongsi resah menerbitkan rindu yang tidak terungkap dengan kata-kata. Benar, persahabatan sejati tiada nilaiannya dan amat bermakna. Pun, kesibukan tidak membataskan pertemuan yang membenih nostalgia.

Fariza sahabatku,
Musim berlalu, dan banyak yang kita pelajari. Masa berlari, dan banyak yang kita renungi. Tak terhitung sebenarnya nikmat Ya Rabb Tuhan yang Maha Memberi. Diuji dengan pelbagai emosi, diduga dengan pelbagai perasaan dan nubari. Pun, akhirnya kita menjadi tekal dan berani. Terkenang sahabat kita kala kecil, Yanti. Dia yang turut diuji yang turut menyayat hati. Pun, siapalah kita untuk menolak ketentuan ilahi?

Sahabatku Fariza,
Usia kita pun sudah mencecah 44 tahun angka. Betapa banyak yang kita belajar saban masa. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya jua. Terima kasih sahabat atas luhurnya persahabatan kita yang kukuh terbina. Kembaraku ke bumi al-Fateh baru-baru ini cukup menyuntik rasa. Benarlah katamu, bumi Turki amat mempesona. Ya, aku benar akuinya. Perjalanan itu bukan sekadar dapat melihat ajaibnya bumi Tuhan bahkan dapat membugar rasa cinta pada perjuangan Islam yang ada dalam jiwa.  Malahan membawa semangat utuh untuk terus bangkit mengharungi uji dan duga.

Saban waktu masa yang kita lalui bersama, saban itu mencipta manisnya momennya yang sukar diungkap dengan kata-kata. Terima kasih kerana meletakkan luhurnya sebuah ikatan dalam persahabatan antara kita.

Fariza sahabatku,
Sempena 2017 yang bakal berlabuh, moga kita terus gagah berlari dan berlari tanpa henti. Walaupun kekadang ujian yang datang melemahkan diri. Doaku kita tetap yakin dengan segala ketentuan-Nya dan berlapang dada dalam lubuk nurani. Sehingga ketemu lagi, ternyata pertemuan di Bangi Kopitiam dapat merungkai rindu yang sekian lama terpendam dalam hati.