Tuesday 7 February 2017

Duga dan pesan





Barangkali memohon maaf kerana lama menjeruk rasa tidak mencoret sudah mangli di telingamu. Lalu aku jadi segan sendiri untuk menitip ungkapan itu meski terasa benar lamanya kita tidak berutus cerita. Namun aku tahu yang kau lebih dari mengerti. Diam bukan bermakna lupa. Bisu bukan bermaksud benci.

Kamariah, sahabatku.

Hidup kita tidak pernah sunyi dari khilaf dan duga.
Apa yang terjadi kepada ahli keluarga tersayangmu juga adalah duga-Nya. Saat menerima khabar tentang musibah itu aku sesungguhnya terkedu. Bayangan saat-saat cemas di rumahmu tiba-tiba bermain di layar minda. Allahu, besar ujian buatmu sekeluarga sahabat. Namun aku memacu yakin bahawa setiap dugaan-Nya tidak akan terjadi tanpa Dia tahu bahawa kita mampu menerimanya.

Kamariah,
Syukurlah suami serta anak-anakmu masih dalam peliharaan Yang Maha Hafidz .. Maha Raheem! Namun nuranimu kutahu menggendung sarat rasa duka dan lara. Di penghujung doa aku sentiasa mengirim harapan agar kita semua sentiasa dipelihara-Nya setiap masa.

Aku tahu beban yang terpaksa kau lalui lewat musibah yang berlaku bukan sedikit. Namun kekuatan itulah yang menjadi nilai paling berharga. Semoga Allah mengampuni segala dosa kita dan diangkat jua murka terhadap kelalaian kita sebagai hamba.

Hari ini aku kurang sihat secara fizikal. Kepala terasa berat lalu aku memutuskan untuk bekerja dari rumah sahaja. Petang dalam perjalanan pulang dari menjemput Irfan di sekolah, tiba-tiba kereta di baris tepi tiba-tiba masuk ke lorong hadapan lalu aku tiada pilihan lain selain menekan pedal brek agar tidak aku pula melanggarnya. Namun sudah tersurat, kereta di belakangku tidak sempat bertindak pantas lalu bumper belakang keretaku menjadi mangsa. Aku meminggir ke tepi dan kereta di belakang turut sama ke sisi. Aku menoleh ke belakang, ada satu bahagian kecil lampu belakang tertanggal lalu terjatuh di tepi jalan lalu dengan segera aku berlarian ke sana sebelum hancur digelek kereta lain. Sekonyong-konyong selesai aku menghala ke arah kereta, kereta tadi lepas dari pandangan! Aku terpisat-pisat di tepi jalan lalu meneruskan pemanduan  dengan seribu rasa yang bersarang di dada.

Allahu .. ini juga duga. Lalu membuat aku bermuhasabah sendiri mengingat akan segala alpa dan lupa lalai yang selama ini aku mungkin sengajakan. Astaghfirullahal adzim .. sesungguhnya ini satu pesan!

Kamariah, mungkin duga kita pelbagai. Ada yang berat, ada yang ringan. Namun aku melihatnya dari perspektif rasa. Kenapa tiba-tiba ada sesuatu yang berlaku? Kun fayakunn .. dan ia berlaku pastilah dengan kehendak-Nya. Lalu apa mesej di sebaliknya? Aku tiba-tiba gerun sendiri. Lalu awan di langit membiru terasa begitu berat untuk dijunjung. Betapa aku manusia alpa!

Sahabat, semoga musibah ini membawa kita ke satu pengertian lain tentang perhambaan kepada -Nya.. sahabat, tabahlah menongkah arus hidup mudah-mudahan penghujungnya sebuah muara redha.


No comments:

Post a Comment