Kala petang, hati menerawang .. aku membuka kembali fail lama manuskrip SDS lalu terjumpa satu penulisan yang belum sempat aku terbitkan di sini. Mungkin untuk simpanan kita bersama :)
Kemaman bukanlah satu daerah yang
terlalu besar. Malah Bandar Chukai, namanya juga tidaklah segah Kuala Lumpur
atau bandar-bandar yang lain. Bagi sesetengah yang lain mungkin jarang sekali
mendengar nama Chukai, Kemaman serta tidak pernah pula menjejakkan kaki ke
daerah kecil ini. Namun, hakikat bahawa nama Kemaman atau Chukai tidak
se’meriah’ bandar-bandar lain diperkatakan, sebagai anak watan, aku tidak
pernah berasa sangsi di hati bahawa
Kemaman, satu daerah penuh makna yang banyak melimpahkan warna-warna pelbagai
dalam siratan episod kehidupan kita.
Manakan tidak, lahirnya aku, pun
di bumi Kemaman. Hospital Daerah Kemaman itulah saksi pertama aku membuka mata
ke dunia ini. Sebagai anak bongsu, kelahiran aku disambut oleh tangan pegawai
perubatan, dan bukannya bidan kampung – sebagaimana yang terjadi kepada kedua
kakakku – Khairan dan Ruziah. Bonda Sarinah pernah bertanya kepada aku ketika
usiaku sekitar lapan tahun – ‘Za nak adik lagi?”. Aku pantas menggelengkan
kepala tanda prostes. Aku tidak mahu adik! Mungkin kerana aku terlalu selesa
sebagai anak bongsu, yang saban hari diberi perhatian oleh semua dalam
keluarga; Pak, Ma, Kak Yang dan Kak Zi. Lalu status bongsu ingin aku
pertahankan.
Tidak pernah aku terfikir bahawa
gelengan tegas aku itu diambil serus kedua Ma dan Pak. Kerana gelengan aku yang
bersungguh-sungguh itu juga, Ma
dan Pak aku mengambil keputusan
untuk terus menjadikan aku anak bongsu. Tidak pernah aku tahu hal itu Kay,
sehinggalah pada suatu petang yang bening, beberapa bulan setelah pemergian
arwah Pak, Ma aku membuka bicara. Mereka memutuskan untuk tidak lagi menimang
cahaya mata yang baharu, kerana bagi mereka, itu adalah permintaan aku. Ya
Rabb! Besar sekali makna protes aku itu, meskipun barangkali aku sendiri tidak
pernah benar-benar memaksudkannya pada usia sehijau itu. Malah tidak pernah
terfikir bagaimana untuk menjadi seorang kakak, jika benar-benar Allah
mengurniakan kami seorang lagi ahli keluarga. Tegas Ma, keputusan itu mereka
ambil kerana aku. Kerana aku anak kesayangan dan setiap permintaan aku seboleh
mungkin ingin mereka penuhi dengan segenap jiwa raga dan roh sebagai orang tua.
Peristiwa tu telah berpuluh tahun
berlalu Kay. Namun sehingga usia
mencecah sebegini matangpun, aku tidak pernah dapat melupakan kenyataan itu.
Perasaan aku? Sukar sekali untuk aku tafsirkan. Mungkin di sebelah pihak, aku
berasa bangga dan gembira, menerima hakikat bahawa sebegitu nilai sayangnya Pak
dan Mak kepada aku, si anak
bongsu. Namun, di sudut yang berlainan, jauh terperosok di dalam kabad
seorang aku, ada satu garis halus yang pijar sesekali membuat hatiku sendu Kay.
Aku menjadi terharu kerana itu aku anggap itu sebuah pengorbanan daripada
mereka. Mungkinkah jika kala disua pertanyaan itu, aku mengangguk laju .. barangkali sekarang
aku juga punya adik atau adik-adik yang boleh kusayangi dan kumanjai?
Ah! Jauh sekali Kay, hatiku ini
kubawa pergi. Namun seajuh manapun, hakikatnya, kerinduan pada Kemaman, Chukai
dan khususnya daerah kecil Binjai terlalu dekat di perdu jiwa seorang aku.
Masih aku ingat, sepanjang bulan-bulan terawal setelah pemergian arwah Pak,
setiap aku aku pulang ke teratak lewat cuti persekolahan yang agak panjang, air
mata merembes tanpa dipinta. Aku memerhati barang-barang tinggalan Pak satu-persatu
seolah-ola ingin aku memahat ingatan yang kejap terhadap setiap bentuk, lekuk
dan warna barang-barang itu dan tidak akan kulupakan lagi. Seolah-olah
pemerhatian itu memberi jiwa dan nafas, seperti aku sedang berbiacara
dengannya. Allah .. Allah .. Kay, sesungguhnya kehilangan Pak dalam hidup aku
memberi kesan yang bukan sedikit buat kami. Paling hebat implikasinya
tentu sekali terhadap Ma. Ma
bergelar janda, kehilangan tempat mengadu, dan yang paling membuat aku cuak dan
marah, kerana ada suara-suara nakal orang kampung yang mempermainkan status
janda Ma di hadapan aku sendiri. Sungguh kurang pekerti! Namun apalah daya aku
sebagai remaja ketika itu yang masih di bangku sekolah menengah untuk menangkis
mulut-mulut berbisa mereka. Aku pulangkan seglaanya kepada Yang Maha Khalik.
Allahku, daripada-Mu kami dating dan kepada-Mu akhirnya kami dikembalikan.
Kamariah,
Kecintaan dan kerinduan kepada
daerah Kemaman bukan sahaja kerana disitu tempat kita membesar atau di situ
tempat bersemadi jasad Pak, atau di situ tinggalnya batang tubuh bonda yang
semakin tua. Kerinduan menggamit datang kala mengimbau semula lorong-lorong
kehidupan yang pernah kita telusuri kala
meningkat remaja. Rakan-rakan sekolah memberi warna yang paling
menyerlah dan paling sukar dilunturkan dalam senarai kanvas kehidupan kita. Aku
pasti kau juga bersetuju dengan kenyataan ini.
Meski sejauh manapun kita
berlari, bertemu dengan manusia-manusia baru yang datang dan pergi dalam
keseluruhan perjalanan hidup kita, aku masih tetap yakin dan pasti bahawa nilai
persahabatan yang dipateri semasa kita di bangku sekolahlah yang paling
bererti. Manakan tidak, pengalaman bersama yang kita lalui, tidak kira pahit
atau manis (tetapi aku kira majoritinya memberi ingatan yang manis bersari
bukan?) menjadi satu mutiara berharga dalam lipatan pengalaman.
Tempat jatuh lagi dikenang,
inikan pula tempat bermain! Nah! Kalau dibentang satu-persatu nama budak-budak
Sekolah Kebangsaan Binjai tentunya semua itu bakal membuat kita menghambur
tawa! Wajah-wajah kala bocah, penuh comot dan peluh, serta kotoran biasa pada
baju-baju putih kita itulah sebenarnya kehidupan sebenar. Tanpa kotoran, peluh,
luka kecil dan sepak terajang di betis – kehidupan kita tentu sekali kosong dan
hambar.
Ah! Fikiran aku melonjak-lonjak
ria, adrenaline tiba-tiba memuncak tinggi! Dan, kau tahu atau tidak, kala
jemari ini rancak mencatuk aksara pada papan kekunci, bibir sedang menguntum
senyum yang panjang. Itulah maksud aku, setiap kali mengenang keindahan zaman
persekolahan, kenangan itu seperti kapsul mujarab yang mampu mengubat rawan di
hati. Senyuman, sengihan silih berganti. Kamariah, betapa nakalnya kita! Betapa
gilanya kita! Namun betapa juga indahnya hidup kala itu!
Benar kata orang, masa yang pergi
tidak bisa lagi diputar kembali, walau sehebat mana teknologi yang ada, kerana
masa yang telah pergi tetap pergi. Namun kenangan itulah satu-satunya khazanah
yang bias kita simpan sebagai tanda bahawa kita pernah menghuni ruang masa
tertentu. Tanpa kenangan dan ingatan, maka kosonglah makna kehidupan.
Allah .. Allah .. bila aku
menoleh seketika ke belakang, begitu terasa bahawa perjalanan kita sudah
panjang. Apatah lagi, ketika kepulanganku melawat bonda di Kemaman beberapa
minggu nan sudah, begitu menyentuh sudut hati. Ketibaan di Bandar Chukai kala
jam 2.30 pagi, memberi aku peluang melihat Chukai yang sedang tidur. Entah
kenapa Kay, aku yang ketika itu memandu, tiba-tiba disapa hiba yang tidak dapat
kutahan-tahan. Entah kenapa, rasa denyut dalam jantungku bagai menghiris perasaan.
Tiba-tiba aku merasakan betapa jauhnya aku telah pergi meninggalkan daerah sepi
ini. Tiba-tiba juga aku bertanyakan diri sendiri, apa erti penghijrahanku ke
Lembah Klang semenjak tahun 1991 itu lagi. Aku seperti tersedar dari mimpi
bahawa aku anak watan yang pulang ke daerah kelahiran, hanya untuk beberapa
ketika, kerana selang beberapa hari aku akan kembali meninggalkannya lagi, buat
ke sekian kali. Kemaman ternayata tetap indah, nyaman dan penuh kasih-sayang,
masih setia menyambut kepulangan kita. Kemaman, meski sudah melalui beberapa
fasa perubahan, terutama dari segi kemudahan dan prasarana, toh masih kekal dan
tetap menjadi saksi kita membesar, saksi persahabatan kita serta saksi air mata
dan hilai tawa.
Begitu sahabat, nilai sebuah
daerah yang pernah kita huni kala bocah sehingga remaja, namun kini kita
tinggalkan kerana tuntutan kerjaya dan keluarga. Kemaman tidak pernah
menyisihkan kita, sahabat. Justeru, daerah inilah yang memberi paling banyak warna dalam juzuk
lipatan kehidupan kita.
Ah, entah apa yang aku bebelkan.
Harap sahaja kau ‘tahan’ untuk menelannya. Aku kira, di usia sematang ini,
pemikiran kira banyak melalui transisi. Cara kita melihat, menilai dan
muhasabah juga melalui fasa tersendiri, bukan! Mungkin kerana aku juga rindukan
pertemuan empat mata denganmu, jadi tulisan ini banyak berbaur emosi.
Maklumlah, kita ini dekat tetapi jauh. Jarak kira tidaklah beratus batu
terpisah namun seringkali masa menjadi pembatasnya.
No comments:
Post a Comment