Wednesday 25 January 2023

Black Cat


Harta kekayaaan, kesihatan itu rezeki. Malah sebuah pertemuan juga adalah nikmat dan rezeki daripada-Nya. 

Siapa sangka dalam kesibukan mengejar tugas hakiki, tiba-tiba peluang untuk kita bertemu terhidang di hadapan mata! Alhamdulillah ala kulli hal ..! 

Pantasnya masa menyusur hari. Tau-tau sahabat kita sudah bergelar nenda! Sekalung tahniah Yanti! Dan kerana cucunda itu jugalah maka kita dapat juga bersua akhirnya. Entah didorong rasa yang tiba-tiba pingin sekali ketemu, lalu aku mencadangkan kita menziarahi Yanti di Damansara. Sementelah kau juga berkelapangan, mana mungkin ruang yang terhidang di hadapan mata dipersiakan begitu saja.

Meski mengharung perjalanan yang panjang serta macet, pertemuan kita aku kira benar-benar membugar rasa. Meski tidak banyak isu pokok yang kita kupas, namun mengimbau kenangan-kenangan lama sudah cukup memberikan dos kelegaan buat kita. Begitu bilang orang, di saat ketemu rakan sekolah, perangai lama kembali lagi! Pecah perut mengilai sehingga hampir senget rahang! 

Betapa panjang usia persahabatan kita bertiga; tau-tau kita pun sudah hampir mencecah angka 50! Ini satu nikmat yang tidak ternilai dalam hidup kita. Di perantauan begini, di mana sanak saudara serta adik beradik jauh di mata, sahabatlah pengganti keluarga. 

Damai. 
Sungguh. 
Pertemuan singkat namun penuh warna dan rasa. 

Kata Yanti - kalaulah pelajar-pelajar kita melihat perangai pensyarahnya seperti yang terpamer tika kita bersama tentu terpinga-pinga dan keliru mereka! Tentu sekali hahaha .. justeru kita ini memakai topi-topi yang berbeza.  Kalau di kampus tentulah pembawaannya berbeza lantaran tuntutan dalam profesion sememangnya berkehendakkan personaliti yang teguh serta sentiasa menghidangkan nilai suri teladan buat semua. 

Berbeza halnya apabila bersua sahabat yang sama-sama membangun dan mendewasa bersama, tentulah topi sahabat yang kita tenggekkan di kepala! Lalu terkeluarlah segala macam tingkah yang bukan-bukan namun diterima dalam 'norma kita-kita'! 

Aku benar-benar tidak dapat melupakan gelagat seorang nenda di sebuah kedai kek yang siap terakam dalam kamera telefon bimbitku. Yanti buat hal hahahah... namun biarlah. Itulah kebahagiaan. Itulah kita. Tanpa warna yang palsu dan tempelan. 

Aku berdoa agar usia kita dipanjangkan, kesihatan kita terpelihara, ukhuwwah kita menyubur sentiasa. 

Black Cat. Ayuh kita teruskan kehidupan ini dengan penuh sederhana namun yang penting, setiap apa yang kita usahakan mendapat redha serta rahmat-Nya. 



 


 

No comments:

Post a Comment