Wednesday 25 January 2023

Terima kasih sahabat!

 


Bagai berabad lamanya. 
Sungguh lama tidak mencoret di sini meski dalam pundak fikir ini sentiasa berbumbu-bumbu cerita yang ingin dikisahkan. 

Petang tadi berkemungkinan menjadi satu petang yang melucukan bila kau terpaksa mendengar kisah 'kebodohan'ku. Namun benar aku lega setelah mendengar bujukanmu sahabat. 

Nasihatmu tentang pengalaman dan tanggungjawab itu sememangnnya mendewasakan. 
Benar dan tepat bahawa kapasiti kita ini jika ingin dibangun dan dikembangkan, harus bermula dari pendedahan. Melalui pendedahan itulah akan terbina 'skill set' yang diperlukan. Namun kemahiran mendepani suasana spontan dalam satu-satu majlis rasmi yang melibatkan figura penting tentu sahaja menghidangkan segenap rasa yang cukup membangkitkan kekuatan dan kematangan. 

Benar juga bahawa kita ini lebih banyak belajar daripada kesalahan dan kelemahan! 
Teduh jiwaku bila mendengar turut bicaramu tadi. Jiwa yang sedari pagi memberontak, membenci diri sendiri kerana ketololan aku dalam berbicara dan menyusun kata ternyata mereda jua. 

Terima kasih sahabat karena betah mendengar pengkisahan aku yang tolol ini. 
Di usia kita sebegini, aku kira kita tidak lagi perlu melayan ocehan hati yang bermacam-macam. 
Banyak lagi perkara pokok dan lebih signifikan yang perlu dilayan dan bukannya isu remeh temeh dan tidak dipandang orang! Stop over thinking! Itulah yang aku khutbahkan pada diri. 

Pengalaman itu mendewasakan.
Pengalaman juga menjadikan kita lebih matang dan berjiwa besar. 
Paling penting, jangan kita ulangi kesilapan yang sama lagi. 

Begitulah. Pentingnya sosok seorang sahabat dalam hidup kita. 
Bukan kudambakan jawapan yang panjang meleret. Cukup sekadar seorang sahabat itu mampu mendengar keluhan hati lalu menyimbah debu salju pada jiwa yang sedang kepanasan dan tidak betah dengan ketololan sendiri! 

Terima kasih sahabatku Kay. 
Nanti jumpa aku belanja teh hangat okey! 


No comments:

Post a Comment